Kerajaan teliti kaedah tangani krisis penghijrahan cendekiawan - Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

NEW YORK - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang meneliti kaedah untuk menarik rakyat Malaysia yang mahir untuk kembali menyumbang kepada negara dalam usaha menangani krisis penghijrahan cendekiawan atau brain drain yang sedang dihadapi negara ketika ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pendidikan Tinggi sedang melibatkan mereka yang boleh menyumbang untuk kembali dan ditempatkan dalam bidang kompetensi tertentu untuk membantu Malaysia.

"Saya yakin ini boleh dilakukan, ia adalah berterusan...dan kita harus, seperti yang anda tahu kita telah lama menghadapi masalah penghijrahan golongan intelektual ini.

"Golongan cendekiawan, ahli ekonomi terkemuka, akauntan terkemuka meninggalkan (negara) atau telah pergi, jadi sekarang kita perlu memastikan bahawa kita mempunyai sistem yang boleh menggalakkan mereka untuk kembali dengan insentif," katanya semasa menghadiri majlis makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di sini hari ini.

Anwar yang tiba di bandar raya ini pada Rabu, sebelum itu menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji skim gaji penjawat awam tetapi sebarang penstrukturan semula perlu dilakukan berdasarkan kedudukan kewangan negara.

"Apa yang saya warisi ialah hutang RM1.5 trilion, defisit 5.6 peratus, maknanya jika saya pemimpin yang bertanggungjawab saya perlu mengurangkan hutang secara beransur-ansur.

"...dan jika kita bertanggungjawab dari segi dasar ekonomi berhemat, maka kita perlu mengurangkan defisit, daripada 5.6 (peratus) tahun lepas kepada 5.3 tahun ini dan berharap untuk mencapai 5 pada 2024,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai soal pemilikan dua kerakyatan, Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan melibatkan keputusan dasar yang utama.

"Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri akan menyediakan kertas kerja dan akan membincangkan implikasinya. Buat masa ini kami tidak memihak tetapi oleh kerana ada permintaan, kami akan melihatnya dan tengok sama ada kami perlu menyesuaikan atau tidak,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan untuk kerajaan membenarkan dwikewarganegaraan bagi menggalakkan golongan profesional Malaysia yang tinggal di luar negara menyumbang kepada pembangunan negara, tanpa perlu memilih antara tanah air dan negara angkat. - Bernama