Kanak-kanak dua tahun lintas jalan tiba-tiba, nyaris dilanggar

ALOR GAJAH - Tular video berdurasi tiga minit yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun nyaris dilanggar kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah, Jalan Melaka Pindah di sini pada Rabu.
Dalam kejadian lebih kurang jam 6.51 pagi, kanak-kanak terbabit turun dari kereta secara bersendirian dari sebuah kereta yang di parkir di tepi jalan dan terus melintas jalan yang ketika itu sibuk di kedua-dua arah laluan.
Menerusi rakaman video tersebut juga terdengar dentuman kuat dipercayai kenderaan pemilik rakaman kamera papan pemuka tersebut telah dirempuh kenderaan lain selepas dia memberhentikan kenderaan secara mengejut bagi mengelak dari melanggar mangsa.
Video berkenaan turut menunjukkan seorang lelaki segera mendukung kanak-kanak berkenaan sebelum diserahkan kepada seorang wanita yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan.