Amanah perlu agresif tawan undi Umno

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli - Foto Bernama
Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli - Foto Bernama
A
A
A
IPOH - Amanah perlu bergerak dengan lebih agresif untuk menawan hati pengundi-pengundi Melayu khususnya ahli Umno yang mula meninggalkan parti itu, kata Pengarah Pilihan Raya parti, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Bagaimanapun katanya, parti itu perlu menolak sekeras-kerasnya politik perkauman yang merupakan pendekatan populis semata-mata untuk menarik pengundi-pengundi Melayu.

“Kita boleh sahaja bergerak ke pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kita rasa suasana politik sudah berubah. Pembubaran Umno semakin menjadi nyata, mungkin akan ada faedah daripada kejatuhan Umno... tetapi kita harus ambil pendekatan segera untuk tawan undi-undi yang lari daripada Umno.

“Jangan mengambil isu-isu perkauman atau agama untuk menawan orang Melayu, pengundi Melayu. Pendekatan yang diambil harus menunjukkan kejayaan sebuah pemerintahan iaitu kehidupan akan jadi selesa, rakyat tidak gelisah dan masa depan terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan dan penggulungan pada Konvensional Amanah Nasional 2018 di sini, hari ini.

Mengenai kejayaan Amanah pada PRU14, Mohd Hatta yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan berkata, ia satu proses berliku, namun keyakinan untuk menang diambil melalui pendekatan bersama dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kita bertanding 34 Parlimen, 11 menang iaitu 32 peratus dan ini kira gagal. Jadi saudara sekalian kalau hendak menuntut pengarah pilihan raya letak jawatan kita akan pertimbangkan.

“Di Dewan Undangan Negeri (Dun), 34 kerusi menang daripada 110 yang bertanding iaitu 31 peratus menang. Jadi kiranya gagal, saya akan minta semua pengarah pimpinan negeri letak jawatan,” katanya dalam nada seloroh dan disambut sorakan para perwakilan.

Beliau berkata pada PRU lalu, secara keseluruhannya PH mencatatkan undi Melayu tertinggi di Selangor pada 39 peratus dan terendah di Terengganu iaitu tujuh peratus. - Bernama
Artikel Berkaitan: