TH sasar 30,000 pendeposit langgan TH Khairat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan 30,000 pendeposit akan melanggan perlindungan takaful TH Khairat yang menawarkan manfaat sebanyak RM12,000 dengan langganan tahunan serendah RM28 menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, setakat ini lebih 9,000 pendeposit telah melanggan perlindungan takaful itu sejak ia ditawarkan secara dalam talian bermula 31 Julai lepas.

Beliau berkata, perlindungan takaful tersebut diberikan kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal dan menyeluruh ke atas pendeposit TH, selain pendeposit juga boleh memilih untuk menyumbangkan sebahagian daripada jumlah perlindungan iaitu RM2,000 sebagai infak kepada

pertubuhan atau organisasi kebajikan yang dilantik oleh pengendali takaful.

"Saya nasihatkan kepada pendeposit untuk maklumkan kepada waris yang menjadi penerima manfaat bagi TH Khairat ini. Sekiranya berlaku kematian atau kemalangan, waris boleh datang ke TH atau menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) dan kami akan memberitahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada Bernama.

Mohamed Ameen berkata, TH Khairat merupakan satu daripada produk tambah nilai kepada pendeposit TH kerana umum mengetahui terdapat banyak kelebihan yang boleh dinikmati apabila menyimpan di institusi berkenaan selain daripada perancangan untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Beliau berkata, TH melihat ia sebagai peluang kepada pendeposit untuk melanggan kerana bayaran tahunan yang rendah dan mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat.

"Kalau kita tengok kelebihan menyimpan di TH antaranya tiada had simpanan, setiap ringgit yang disimpan ada jaminan kerajaan, menepati syariah secara menyeluruh, zakat dibayar bagi pihak pendeposit dan simpanan bertambah dengan adanya agihan keuntungan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Ameen berkata, setakat ini dua syarikat takaful yang menaja jamin TH ialah Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Hong Leong MSIG Takaful.

TH Khairat terbuka kepada semua pendeposit TH yang berusia seawal 30 hari hingga 65 tahun serta mempunyai baki akaun yang boleh digunakan berjumlah sekurang-kurangnya RM100 dan pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian menerusi platform THiJARI.

Bayaran RM28 adalah secara potongan terus daripada akaun TH secara tahunan selagi sijil takaful belum ditamatkan oleh pendeposit. - Bernama