[VIDEO] Warga Bangladesh didakwa bunuh rakan senegara

A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pekerja kebun pisang warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa atas tuduhan membunuh rakan senegaranya, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohammad Mokul Hossain, 34, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Hossen Md Monowar di sebuah lot di Jalan Kuak, Pekan Kuak, Lenggong antara jam 7 hingga 8 malam pada 8 September lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya dikenakan hukuman penjara hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 20 Oktober depan bagi sebutan semula kes untuk lantikan jurubahasa di Mahkamah Majistret Lenggong.

Mohammad Mokul (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa selepas didakwa membunuh rakan senegaranya pada 8 September lalu.
Mohammad Mokul (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa selepas didakwa membunuh rakan senegaranya pada 8 September lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat seorang lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan rentung di kawasan kebun pisang di Kampung Pengkalan Ikan, Kuak, Lenggong.

Artikel Berkaitan:

Hasil bedah siasat mengesahkan kematian mangsa disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul.

Suspek akhirnya berjaya diberkas polis di tepi jalan Kampung Jamuan, Kuala Kangsar pada 11 September lalu.