3R: PDRM ambil tindakan berdasarkan tatacara dan peraturan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan membabitkan isu 3R adalah berdasarkan tatacara dan peraturan yang termaktub, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi kementerian itu, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mengeksploitasi isu 3R tanpa mengira latar belakang, status atau kedudukan.

"Apa sahaja keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri, kita punyai tatacara dan peraturan yang termaktub dalam undang-undang sedia ada.

"...kita sentiasa komited dan mendukung hak kebebasan bersuara sebagaimana yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan selagi ia mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan... sebab itu, mana-mana pihak yang ingin mengelak daripada diambil tindakan, patuhilah peraturan yang ada,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.