Ambil iktibar krisis bekalan air: ADUN Sungai Kandis

Ahmad Zawawi
Ahmad Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Krisis gangguan bekalan air melibatkan kawasan Klang wajar dijadikan iktibar pihak yang terlibat.

ADUN Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, pengalaman ini amat berharga dan banyak hikmah yang dipelajari daripada apa yang berlaku.

"Kejadian ini diharap dapat membuka mata pihak berkaitan supaya meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan membaiki kelemahan serta kekurangan menghadapi bencana.

“Marilah kita bersama-sama memberikan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan hidup bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada semua kakitangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang sabar dan tabah menghadapi cabaran Ramadan.

“Tahniah kerana bersabar menghadapi reaksi yang pelbagai daripada masyarakat.

“Tidak ketinggalan pasukan sukarelawan dan petugas dari Pusat Khidmat DUN Sungai Kandis yang bekerjasama serta membantu menyelaras bantuan air,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Paip pecah: SPAN jalankan siasatan

Artikel Berkaitan:

Terdahulu masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang berlaku susulan tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terpaksa bekerja 24 jam bagi melaksanakan kerja pembaikan paip.

Ia ekoran mereka perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah, pada 5 Mei lalu.