Ketengah persembahan randai sebagai warisan Negeri Sembilan

Nicole (dua kiri) berkesempatan beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
Nicole (dua kiri) berkesempatan beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
A
A
A

SEREMBAN - Persembahan randai yang menggabungkan pelbagai elemen merangkumi seni tari, silat, muzik dan juga kesusasteraan perlu diketengahkan sebagai persembahan rasmi dalam mana-mana acara yang bersesuaian di negeri ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, ia bagi memelihara warisan, budaya dan tradisi Negeri Sembilan terutamanya kepada generasi muda antaranya persembahan unik itu.

"Semalam saya pergi ke acara yang ada persembahan randai, sangat menarik, biasanya ia dilakukan lepas musim menuai, ia tak terlalu berat, persembahan itu ada unsur komedi, jadi saya ingin diketengahkan termasuk tarian yang boleh jadi antara identiti Negeri Sembilan.

“Apabila pelancong datang nanti mereka boleh tengok itu, kalau pergi Bali, Indonesia mereka ada tarian kecak, jadi kalau ke Negeri Sembilan, orang akan ingat randai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Makanan Persatuan Ceylonese Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Persembahan randai yang disertai tidak kurang 20 orang adalah berkonsepkan gerak tari silat yang diselangi nyanyian berunsur lagu rakyat serta diiringi muzik caklempong, rebana, salung dan gong dan ia merupakan antara seni budaya masyarakat Minangkabau di negeri ini.

Dalam pada itu, Nicole turut menyarankan persembahan randai ini didedahkan kepada pelajar sekolah supaya budaya dan warisan ini terus berkembang dan tidak hilang telan zaman.

Sementara itu, Nicole berkata, program jejak makanan tradisi Negeri Sembilan yang turut menggabungkan makanan tradisi pelbagai kaum akan dimasukkan dalam takwim pelancongan negeri ini nanti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia bagi menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke negeri ini.