'Cadangan ganti kamera AWAS masih di peringkat ujian' - KP JPJ

Gambar yang tular di media sosial memaparkan sepasukan anggota JPJ sedang menguji kesesuaian dan ketepatan kamera baharu. - Foto: Media Sosial
Gambar yang tular di media sosial memaparkan sepasukan anggota JPJ sedang menguji kesesuaian dan ketepatan kamera baharu. - Foto: Media Sosial
A
A
A

SHAH ALAM - Paparan gambar dan video yang tular tentang sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan tugas bersama satu objek berbentuk tiang hitam merupakan kamera yang sedang di peringkat ujian kesesuaian dan ketepatan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha berkata, kamera itu dicadang bagi menggantikan beberapa unit kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sedia ada yang telah lama atau rosak.

"Ia masih di peringkat ujian kesesuaian dan ketetapan data yang dicerap.

"Ini bukan suatu perkara yang luar biasa. Mana-mana aset yang telah lama atau rosak perlu dibaiki atau diganti dengan yang baharu. Ia penting supaya kadar kemalangan di jalan raya dapat dikurangkan melalui pematuhan kepada had laju," jelasnya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, tular di aplikasi media sosial X dan WhatsApp memaparkan beberapa gambar 'tiang' terbabit.

Pada 6 Jun lalu, kerajaan bercadang untuk menambah kamera AWAS atau yang dahulunya dikenali sebagai Automated Enforcement System (AES) mengikut keperluan dalam jangka masa panjang.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, hal ini kerana kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati, tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera itu, mencecah 99 peratus.

Hasbi juga menekankan penguatkuasaan kamera AWAS bukan bertujuan memerangkap pengguna jalan raya sebaliknya, langkah itu bagi memastikan semua pengguna mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan titik hitam yang merupakan lokasi kerap berlakunya kemalangan.

Artikel Berkaitan: