Wujudkan pendidikan antirasuah di sekolah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Syahir Ismail
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Syahir Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan pendidikan mengenai rasuah melalui medium rasmi pembelajaran dalam kelas untuk menerapkan sifat bencikan budaya tersebut bermula peringkat akar umbi.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Kedah, Mohd Syahir Ismail berkata, ia perlu melibatkan murid di sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, modul-modul khas mengenai kefahaman salah laku rasuah serta memberi penekanan dalam subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral merupakan langkah efektif.

“Kesilapan yang sering dilakukan masyarakat masa kini adalah memberi justifikasi isu rasuah ini hanya untuk difahami dan dibincangkan oleh golongan dewasa sahaja.

“Faktor ini menyebabkan rakyat Malaysia lambat menerima kefahaman dan penanaman nilai terhadap impak negatif sekiranya terlibat dengan budaya tersebut.

“Justeru itu, pendekatan melalui pendidikan di sekolah merupakan satu cara dilihat paling efisien untuk mencegah rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 September lalu memaklumkan gejala rasuah dalam industri e-sukan terutamanya melibatkan golongan muda merupakan satu cabaran baharu yang perlu diberi perhatian oleh suruhanjaya itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, selain isu rasuah, industri e-sukan juga terdedah kepada gejala perjudian sekiranya ia tidak dicegah dari awal.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Syahir, penerapan pemahaman tentang rasuah dari peringkat awal itu turut boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum.

“Sebagai contoh, wujudkan Kelab Rasuah Busters dan aktiviti berkala di sekolah pada sebelah petang.

“Ia bertujuan untuk menanam sikap bencikan perbuatan rasuah sama ada menerima atau memberi,” ujarnya.