KPM bina keterampilan, peribadi unggul pelajar

Azman (lima dari kanan) dan Abdul Rashid (enam dari kanan) bersama-sama para pelajar yang terpilih sebagai Ikon Murid 3K bagi kategori SK dan SMK.
Azman (lima dari kanan) dan Abdul Rashid (enam dari kanan) bersama-sama para pelajar yang terpilih sebagai Ikon Murid 3K bagi kategori SK dan SMK.
A
A
A

GEORGETOWN - Aspek 3K (kebersihan, kesihatan dan keselamatan) merupakan elemen penting bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif amat membantu para murid dalam mencapai kecemerlangan di sekolah.

Pembudayaan 3K itu turut selari dengan konsep ABC iaitu ‘Anak Yang Baik Lagi Cerdik’ yang dicetuskan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali sekali gus menepati Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam pendidikan.

Menyemarakkan lagi konsep 3K di sekolah, KPM telah memperluaskan usaha itu dengan mengadakan Karnival Pembudayaan 3K@ABC Peringkat Kebangsaan 2023 selama empat hari bermula pada 12 dan berakhir pada 15 September bertempat di Universiti Sains Malaysia (USM).

Bertemakan 'Amalan 3K Membentuk ABC' karnival tersebut disertai seramai 90 ikon murid 3K dari sekolah-sekolah di seluruh negara dengan matlamat untuk membentuk keterampilan serta keperibadian unggul golongan itu yang merupakan modal insan negara.

Kemenjadian murid

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, pemilihan tema 'Amalan 3K Membentuk ABC' sempena karnival itu amat bertepatan kerana melalui amalan 3K itu memberi pengaruh besar ke atas kemenjadian sahsiah seseorang individu.

“Saya yakin dengan adanya amalan (3K) ini, ia dapat menyokong pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam diri seseorang murid seperti yang dihasratkan.

“Insya-ALLAH, berkat kerjasama dan sinergi semua pihak, matlamat yang digariskan bagi program ini iaitu membentuk keterampilan dan keperibadian unggul dalam kalangan murid.

Artikel Berkaitan:

“Usaha ini amat penting ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang untuk generasi pewaris negara,” katanya kepada Sinar Harian semasa majlis penutup Karnival Pembudayaan 3K@ABC di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai Karnival 3K@ABC 2023 itu, Azman memberitahu bahawa antara pengisian program yang dilaksanakan meliputi Pembentangan dan Perkongsian Amalan Terbaik Program 3K, Kompilasi Perkongsian Amalan Terbaik Program 3K, Pendedahan Konsep ABC, Refleksi Teknik Pembentangan serta Komunikasi Berkesan dan Eksplorasi Alam Sekitar.

Jelasnya, pengisian program-program tersebut telah disusun dan amat relevan bagi melengkapkan keupayaan para peserta.

"Amalan 3K juga meliputi gaya hidup yang sihat. Murid yang mengamalkan gaya hidup yang sihat mampu menjadi modal insan yang cemerlang seterusnya menjadi aset negara pada masa depan,” jelasnya yang turut menyatakan amalan 3K mampu menghindari seseorang murid daripada gejala negatif.

Kerjasama dan komitmen

Dalam pada itu, Ahmad turut menekankan bahawa keberhasilan dan kejayaan pembudayaan 3K dalam kalangan murid turut bergantung kepada komitmen serta kerjasama daripada semua pihak sama ada di peringkat kementerian, jabatan-jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, sekolah-sekolah dan agensi-agensi awam serta swasta.

Antara pelajar yang mengadakan persembahan semasa program penutup Karnival Pembudayaan 3K@ABC 2023 di USM pada Jumaat.
Antara pelajar yang mengadakan persembahan semasa program penutup Karnival Pembudayaan 3K@ABC 2023 di USM pada Jumaat.

Malah, para guru dan pegawai pendidikan juga perlu sentiasa berfikiran kreatif dan proaktif dalam menjayakan penerapan amalan 3K dalam kalangan murid.

"Program 3K yang telah dilaksanakan oleh KPM semenjak 2008 bertujuan memantau dan menambah baik aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan sekolah dan murid.

"Sekolah dan murid yang bersih, sihat dan selamat dapat membentuk ekosistem yang lebih berkualiti dan berkesan ke arah mencapai Falsafah Pendidikan Negara," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, dalam mencapai teras nadi KPM, Karnival Pembudayaan 3K@ABC merupakan salah satu platform bagi mencapai matlamat tersebut.

"Karnival ini menyokong pembentukan modal insan yang berkeperibadian unggul menerusi pemupukan pengetahuan, sikap dan amalan yang berkekalan dalam aspek 3К.

“Saya berharap semua pihak mengambil ibrah (pengajaran) dalam semua medium perkongsian ilmu sepanjang karnival ini. Semoga program ini terus menyuntik semangat kepada semua khususnya murid untuk membudayakan amalan 3K dalam kehidupan seharian sehingga dewasa kelak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Karnival Pembudayaan 3K@ABC 2023 turut menyaksikan tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Butterworth dipilih sebagai Ikon Murid 3K bagi kategori SMK.

Menurut salah seorang pelajar yang terpilih dari sekolah itu, J Divyaa Bai, 15, dia tidak menyangka dipilih sebagai Ikon Murid 3K bagi peringkat kebangsaan bersama dua lagi rakannya.

J Divyaa Bai dipilih sebagai Ikon Murid 3K bagi peringkat kebangsaan
J Divyaa Bai dipilih sebagai Ikon Murid 3K bagi peringkat kebangsaan

“Kami memang tidak sangka akan dipilih dan ini adalah kejayaan bersama antara kami dengan guru-guru. Peranan kami bertiga selepas ini untuk menjadi duta pembudayaan amalan 3K akan dipikul dengan baik,”

Sementara itu, tiga lagi murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda, Johor turut diangkat sebagai Ikon Murid 3K bagi kategori SK.