Purata satu kanak-kanak mati setiap hari akibat nahas jalan raya 2011-2020

Hasbi Habibollah - Foto Bernama
Hasbi Habibollah - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Purata satu kanak-kanak mati setiap hari akibat nahas jalan raya dicatatkan dalam tempoh 2011 hingga 2020, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata, data kemalangan itu diterima daripada Polis Diraja Malaysia dan dianalisis oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang mendapati 7.25 peratus kematian adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun bagi tempoh 10 tahun itu.

Katanya, menyedari hakikat itu, Kementerian Pengangkutan mengambil beberapa inisiatif bagi mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian di jalan raya melibatkan kanak-kanak melalui program advokasi dan penyelidikan termasuklah Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR).

PKJR merupakan satu modul mengenai keselamatan jalan raya yang diajar dalam subjek Bahasa Melayu di semua sekolah rendah dan sekolah menengah, dan sejak 2021 modul sama telah diaplikasikan di peringkat taska dan prasekolah.

Menerusi PKJR, murid diajar mengenai ilmu keselamatan jalan raya secara berperingkat merangkumi pengenalan tanda-tanda isyarat lalu lintas, prasarana jalan raya, dan pengenalan kepada jenis kenderaan yang boleh membantu mereka menjadi pengguna jalan raya yang peka dan berwaspada.

"Anak-anak kita harus dididik dan dilentur sejak kecil lagi mengenai kepentingan keselamatan jalan raya agar ia menjadi budaya mereka,” kata Hasbi ketika berucap merasmikan Karnival PKJR di sini pada Rabu.

Karnival PKJR itu diadakan bersempena Asean Road Safety Week (ARSW) 2023 yang berlangsung di sini dari Isnin (11 September) hingga 15 September.

Dengan tema ‘Mobiliti yang selamat untuk semua’, ARSW memperjuangkan strategi keselamatan jalan raya bukan sahaja untuk pemandu kenderaan bermotor, tetapi juga penunggang basikal dan pejalan kaki. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!