Duit kahwin belum cukup, lelaki buat laporan palsu disamun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki tergamak membuat laporan palsu dengan mendakwa disamun kerana ingin menangguhkan majlis perkahwinan disebabkan wang tidak mencukupi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, laporan tersebut dibuat penghantar makananan berusia 22 tahun mendakwa telah disamun empat lelaki dan telah kehilangan wang tunai RM9,000 serta kad pengenalan dalam kejadian berhampiran sebuah kuil di Rantau.

"Hasil soal siasat dia sebenarnya ingin menangguhkan majlis perkahwinan kerana duit tidak mencukupi.

"Semakan rekod pula mendapati dia tiada rekod jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang kontraktor berusia 39 tahun membuat laporan pada jam 8.47 malam mendakwa kononnya disamun dua lelaki di hadapan Food Court Permai Seremban.

Laporan tersebut dibuat dengan alasan supaya dapat membuat kad pengenalan baharu tanpa membayar sebarang denda.

Arifai berkata, lelaki terbabit mendakwa kehilangan barangan berharga dan kad pengenalan, namun hasil siasatan kejadian itu tidak pernah berlaku.

"Semakan juga mendapati dia mempunyai empat repot kehilangan kad pengenalan sebelum ini dan mempunyai rekod dadah. Ujian saringan air kencing didapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Arifai berkata, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati membuat laporan palsu.

"Kedua-dua kes terbabit disiasat bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimun enam bulan penjara atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.