TikTok bukan platform terbaik luah pandangan - Faizal

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Aplikasi TikTok bukan sebahagian platform terbaik meluahkan pandangan, sebaliknya menjadi medan menghasut atau menyebarkan propaganda terutama isu politik, ekonomi dan sosial.
Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor, Faizal Rahman berkata, media sosial sememangnya berkuasa, namun TikTok menjadi daya penarik kerana menawarkan imbuhan kepada pengguna yang mencipta kandungan dalam aplikasi tersebut.
“Saya kurang setuju mengatakan platform ini lebih mudah untuk memberikan pandangan kerana sama sahaja seperti Facebook atau Instagram. Semua orang berhak meluahkan pandangan mereka.
“Kelebihan aplikasi ini hanya didorong oleh imbuhan yang memberi pulangan wang kepada pembuat kandungan terutama isu politik atau hal ehwal semasa semakin hangat diperkatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Siri 412 yang bertajuk ‘TikToker perosak politik atau bukan?’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.