Tokoh terkemuka media, Chun Wai bukan orang asing kepada Bernama

Datuk Seri Wong Chun Wai
Datuk Seri Wong Chun Wai
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tokoh media terkemuka Datuk Seri Wong Chun Wai dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu untuk tempoh dua tahun bukannya orang asing kepada agensi berita negara itu.

Chun Wai yang berpengalaman lebih 38 tahun dalam industri media, menjadi seorang Ahli Lembaga Pengelola Bernama dari 2004-2010 dan Ahli Majlis Penyeliaan agensi berita itu dari 2010-2014.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan pelantikan Penasihat The Star Media Group Bhd itu yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia itu juga merupakan rakyat Malaysia pertama dipilih menyertai Forum Pengarang Dunia berpangkalan di Paris dan juga sebagai penasihat kepada Asia News Network, sebuah perikatan 22 pertubuhan berita terkemuka berpangkalan di Bangkok.

Pelantikan Chun Wai, 62, berkuat kuasa sejak 1 September bagi menggantikan Datuk Ras Adiba Radzi yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 23 Jan lepas, selepas dilantik pada 23 Nov 2020.

Chun Wai yang berasal dari Pulau Pinang merupakan siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Sains Politik dan Sejarah pada 1984 dan beliau menjalani pengajian di Jabatan Persuratan Melayu di universiti sama.

Beliau pernah menjadi seorang Profesor Adjung di Sekolah Siswazah Othman Yeop Abdullah di bawah Universiti Utara Malaysia dan pada masa ini Chun Wai merupakan seorang Profesor Adjung di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UKM.

Chun Wai juga pernah mengambil kursus-kursus kepimpinan dan kewangan di pelbagai universiti tersohor Amerika Syarikat termasuk University of Southern California dan University of Stanford di bawah program Bank Negara.

Artikel Berkaitan:

Pada 2003 beliau memenangi anugerah berprestij Wartawan Terbaik untuk Berita Rencana daripada Institut Akhbar Malaysia hasil artikel siasatan mengenai pengganas dari Malaysia dan latihan bersenjata mereka di Afghanistan.

Pada tahun sama, Asia Inc sebuah majalah perniagaan serantau, menamakan Chun Wai dalam senarai 50 teratas golongan muda yang menggerakkan dan menggoncangkan Asia. Beliau bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan ketika itu.

Chun Wai juga menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat untuk Kepimpinan dalam Industri Media daripada Forum Ekonomi China Dunia di Chongqing, China pada 2014 dan memenangi gelaran pemimpin media pada 2015 daripada McMillian Woods, sebuah firma perakaunan terkemuka.

Sejak 2012, Chun Wai telah berkhidmat antaranya selaku Ahli Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia di Jabatan Perdana Menteri, seorang pemegang amanah dalam Gerakan Kesederhanaan Global dan penasihat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa dan ahli Majlis Pemulihan Negara. - Bernama