Paling penting niat mesti baik: Hassan

Hassan (dua kiri) ketika bercakap pada sidang media, hari ni.
Hassan (dua kiri) ketika bercakap pada sidang media, hari ni.
A
A
A
PASIR GUDANG - PKR Johor menzahirkan pendirian positif berhubung tindakan beberapa Ahli Parlimen BN khususnya daripada Umno yang meninggalkan parti menjadi wakil rakyat Bebas.

Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, jika niat bekas Ahli Parlimen BN itu baik dan demi kebaikan negara, tidak menjadi suatu masalah untuk wakil rakyat terbabit berbuat sedemikian.

"Pertama sekali, bersangka baiklah. Kalau niat itu baik untuk kebaikan negara, maknanya boleh bincang. Tetapi mesti niat itu untuk negara, untuk rakyat, untuk perpaduan.

"Bukannya untuk melepaskan daripada disiasat polis. Terlepas daripada tindakan-tindakan itu. Tapi saya bersangka baik, tak ada masalah. Bincang dulu. Dan niat itu mesti baik, itu sahaja," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa bekas Ahli Parlimen BN yang meninggal parti dan mengisyhtiharkan sebagai wakil rakyat Bebas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Johor Skills Development Centre 2018 di sini hari ini.

Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, gejala lompat parti itu lumrah dalam politik negara.

"Saya melihat begini sahaja, iaitu negara kita ini bahtera di laut. Bahtera kita okay. Tapi kalau ada kapal yang lain nak karam... Jadi kalau ada gejala lompat melompat ini lumrah.

"Bagi saya maknanya, tidak tutup pintu begitu sahaja. Boleh berbincang. Dan ini saya rasa selaras dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (punya) pendirian. Buka untuk perbincangan. Tak semestinya bincang, (kemudian) terima," katanya.

Terdahulu, media melaporkan wakil rakyat Umno berserta ketua bahagian di Sabah meninggalkan parti tersebut dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.
Artikel Berkaitan:


Ia disusuli dengan enam lagi Ahli Parlimen Umno iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) turut berbuat demikian.

Bagaimanapun, keenam mereka masih belum mengumumkan untuk menyertai mana-mana parti politik dan memilih untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.