Datuk, cucu ditemukan terapung dalam kolam

Warga emas ditemukan terapung bersama cucu lelaki berusia setahun tujuh bulan dalam sebuah kolam lama berdekatan restoran ikan bakar dekat Taman Kempas, Sungai Petani pada Isnin. Gambar kecil: Zaidy
Warga emas ditemukan terapung bersama cucu lelaki berusia setahun tujuh bulan dalam sebuah kolam lama berdekatan restoran ikan bakar dekat Taman Kempas, Sungai Petani pada Isnin. Gambar kecil: Zaidy
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang warga emas ditemukan terapung bersama cucu lelaki berusia setahun tujuh bulan dalam sebuah kolam lama berdekatan restoran ikan bakar dekat Taman Kempas di sini kira-kira jam 7 petang Isnin.

Kejadian disedari orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk memohon bantuan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berusia 78 tahun bersama cucunya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal ketika kejadian.

Menurutnya, polis menerima maklumat pada jam 7.20 petang menerusi panggilan MERS 999 yang memaklumkan terdapat dua mangsa dilihat terapung dalam kolam terbabit.

"Timbalan Ketua Polis Balai Tikam Batu bersama lima anggota tiba di tempat kejadian pada 7.28 petang dan mendapati mangsa terapung dalam kolam yang ditinggalkan sedalam satu meter.

"Mangsa bagaimanapun telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam," katanya.

Menurut Zaidy, saksi yang merupakan pekerja restoran ikan bakar menyatakan ternampak orang ramai berkumpul di kawasan kolam lama tersebut dan apabila menghampiri mendapati ada dua mangsa lemas seterusnya membuat panggilan kecemasan.

"Dalam masa sama, temu bual bersama bapa kanak-kanak menyatakan bahawa selalu anak lelakinya dibawa oleh datuk berjalan-jalan setiap petang selepas mengambil cucu tersebut daripada ibunya yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Kempas tidak jauh dari situ.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga jam 7 petang, dia mendapati kedua-duanya belum pulang menyebabkannya membuat carian di sekitar kawasan sebelum ternampak orang ramai berkumpul dekat kolam. Apabila sampai, dia mendapati kedua-duanya sudah terapung," katanya.

Jelas Zaidy, pemeriksaan ke atas mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.

Kedua-kedua mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat.