Wanita ketuai geng pecah rumah ditahan

Mohd Hasni menunjukkan ahli Geng Tasha yang didalangi seorang wanita berusia 25 tahun.
Mohd Hasni menunjukkan ahli Geng Tasha yang didalangi seorang wanita berusia 25 tahun.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Polis berjaya menumpaskan kegiatan pecah rumah sekitar daerah Muallim selepas menahan lima individu termasuk seorang wanita dalam tiga tangkapan berasingan sekitar Selangor pada Rabu dan Khamis lalu.

Kumpulan dikenali sebagai 'Geng Tasha' yang diketuai wanita berusia 25 tahun itu dikesan bergerak aktif melakukan kegiatan jenayah pada waktu siang sekitar sempadan negeri sejak tahun lalu.

Difahamkan, kumpulan itu dipercayai melakukan jenayah terbabit bagi membiayai perbicaraan kes pecah rumah yang dihadapi suspek di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, dengan penahan geng itu, polis berjaya menyelesaikan dua kes pecah masuk melibatkan kerugian sekitar RM35,000 di Taman Bernam Baru pada 23 dan 25 Ogos lalu.

Mohd Hasni menunjukkan barang kes yang dirampas daripada Geng Tasha.
Mohd Hasni menunjukkan barang kes yang dirampas daripada Geng Tasha.

Menurut beliau, tiga suspek termasuk wanita terbabit ditahan di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam manakala dua lagi suspek masing-masing diberkas di sekitar Rawang dan Sungai Buluh.

"Modus operandi geng ini, mereka akan melakukan tinjauan di kawasan perumahan selama beberapa hari sebelum menyewa sebuah kereta lain untuk memecah masuk rumah mangsa menerusi pintu belakang.

"Kumpulan ini juga akan mengunci semula pintu rumah menggunakan mangga baharu hingga menyukarkan mangsa untuk masuk rumah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Hasni, barang kemas milik mangsa kemudiannya digadaikan di beberapa kedai sekitar Batu Caves dan Jengka, Pahang.

Dua kereta yang digunakan Geng Tasha dalam aktiviti pecah rumah disita untuk siasatan lanjut.
Dua kereta yang digunakan Geng Tasha dalam aktiviti pecah rumah disita untuk siasatan lanjut.

"Dua kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi yang digunakan dalam aktiviti jenayah itu disita bersama nombor pendaftaran kenderaan palsu dan enam helai resit pajak gadai.

"Polis turut menemukan set kunci mangga, sebuah komputer riba serta peralatan seperti kuku kambing, sarung tangan dan lain-lain yang digunakan ketika kejadian," katanya.

Mohd Hasni berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 36 tahun itu direman selama lapan hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis sedang mengenal pasti seorang lelaki dipercayai ahli geng yang dikenali sebagai 'Ah Fai' masih bebas.