Moyang dua cicit tetap kental sertai Moto Show

Kamaruddin bersama motosikalnya, Yamaha RD 250 yang dibeli pada 1998 menyertai Moto Show di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.
Kamaruddin bersama motosikalnya, Yamaha RD 250 yang dibeli pada 1998 menyertai Moto Show di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Status moyang kepada dua cicit tidak menghalang seorang warga emas berusia 78 tahun menyertai Moto Show Klasik serta Retro sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Ahad.

Kamaruddin Wahid atau lebih dikenali sebagai Cik Din mengakui mula meminati dunia permotoran lebih enam dekad lalu.

“Sejak 1962 sehingga sekarang, minat saya terhadap dunia motosikal tidak pernah luntur.

“Untuk acara Moto Show kali ini, saya bawa motosikal dibeli pada 1998 iaitu Yamaha RD 250,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut Cik Din, dia kerap bergaul dengan anak muda yang mempunyai hobi sama dan pernah menjelajah ke seluruh negeri termasuk merentasi sempadan Thailand sebanyak tiga kali.

“Dalam kalangan sama umur dengan saya, sudah tiada yang larat menunggang motosikal. Jadi saya sertai golongan muda pusing satu Malaysia termasuk Thailand.

“Jika ada acara permotoran setiap bulan atau hujung minggu memang saya akan sertai,” katanya.

Cik Din berkata, sehingga kini dia mempunyai empat koleksi motosikal daripada jenama Yamaha, Kawasaki dan Vespa.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengambil keputusan menyertai acara seperti ini kerana mahu memenuhi hobi dan masa lapang.

“Ini kerana tiga anak saya semuanya sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga mereka sendiri.

“Semua anak dah kahwin dan ada anak-anak, jadi saya mempunyai lapan cucu dan dua cicit sekarang,” katanya.

Pemenang bagi enam kategori pertandingan Moto Show.
Pemenang bagi enam kategori pertandingan Moto Show.

Peniaga alat ganti motosikal rangkul dua piala kategori sama

Sementara itu, seorang peniaga alat ganti motosikal muncul juara dan naib juara bagi kategori 250cc ke bawah dalam pertandingan Moto Show Klasik serta Retro Karnival Pendidikan Sinar Bestari di sini pada Ahad.

Mohammad Khairudin, 46, mengakui tidak menyangka dua penyertaan itu membolehkannya membawa pulang wang kemenangan keseluruhan RM300 beserta trofi.

“Saya menyertai Moto Show ini secara suka-suka dan tidak menjangkakan kemenangan dalam kategori sama.

“Juara adalah motor jenama Yamaha TZM 150 dan naib juara Aprilia RS125,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Moto Show di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini.

Terdahulu, acara berkenaan menerima pendaftaran hampir 100 peserta dengan enam kategori dipertandingkan.

Bagi kategori 250cc ke atas dimenangi Nor Zain Mohd Isa manakala kategori Kapcai Klasik Pilihan milik Zulfikar Yusof.

Selain itu, kategori Kapcai Retro Pilihan dirangkul Nasrullah Mohamed Yusof dengan motosikal jenis Kawasaki K1; Retro Open Pilihan, Zaini Mokhtar dengan Yamaha RXS115 dan Klasik Open Pilihan, Mohd Nur Azhan Marnun, Yamaha YB100.

Kamaruddin (dua dari kiri) bersama peserta Moto Show di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.
Kamaruddin (dua dari kiri) bersama peserta Moto Show di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Sementara itu, wakil penganjur bersama, Kamsani Kamarudin, 42, berkata, ini adalah kali pertama buat pihaknya, Puchong Runner Club (RangooP) menganjurkan Moto Show dalam karnival itu.

“Penerimaan orang ramai amat memberangsangkan kerana ia melibatkan peserta dari Selangor dan juga negeri lain.

“Saya berharap acara ini dapat diadakan lagi di masa hadapan,” katanya.