Nabilah, Aleena kini juara dunia

Nabilah dan Aleena muncul juara Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast pada Sabtu.
Nabilah dan Aleena muncul juara Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast pada Sabtu.
A
A
A

GANDINGAN Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Nawawi mencipta sensasi apabila muncul juara Kejohanan Boling Padang Dunia yang berlangsung di Gold Coast, Australia pada Sabtu.

Dalam aksi final, beregu wanita negara itu menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari Malta, Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixon dengan keputusan 15-11.

Kejayaan itu dianggap pengubat duka buat Nabilah yang sebelum ini tewas di peringkat suku akhir acara tiga sepasukan kepada New Zealand ketika bergandingan dengan Syafiqa Haidar Rahman dan Azlina Arshad.

"Ia adalah persembahan yang menakjubkan daripada kami apabila dapat menewaskan pasangan Malta. Sudah tentu saya sangat gembira," kata Nabilah.

Kejayaan Nur Ain Nabilah dan Aleena itu sekali gus mengakhiri penantian panjang selama 15 tahun buat Malaysia untuk kembali menawan 'puncak dunia'.

"Terima kasih kepada Nabilah kerana banyak membantu sekali gus membawa pulang emas untuk kami pada penyertaan kali ini," jelas Aleena.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dunia adalah menerusi Safuan Said dalam acara perseorangan lelaki pada 2008 di Christchurch, New Zealand.

Artikel Berkaitan: