PRK: Polis terus pantau isu 3R

Ayob Khan ( dua dari Kiri) pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di pusat-pusat mengundi pada PRK Parlimen Pulai.
Ayob Khan ( dua dari Kiri) pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di pusat-pusat mengundi pada PRK Parlimen Pulai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemantauan berterusan akan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap media sosial dan kenyataan mana-mana individu berhubung isu 3R (agama, kaum, raja).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, isu berkenaan masih berlarutan bukan sahaja ketika musim pilihan raya.

"Akan ada individu yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berhubung dengan isu 3R walaupun banyak kali nasihat serta amaran sudah diberikan.

"Malah saya lihat masih ada lagi yang mahu ambil kesempatan buat kenyataan berkait isu 3R ini. Isu ini akan berterusan bukan sahaja ketika pilihan raya dan pihak polis akan sentiasa memantau perkara ini," katanya selepas meninjau Pusat Mengundi di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Ayob Khan (tengah) bergambar bersama petugas SPR di pusat mengundi Maktab Sultan Abu Bakar pada Sabtu.
Ayob Khan (tengah) bergambar bersama petugas SPR di pusat mengundi Maktab Sultan Abu Bakar pada Sabtu.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan diteruskan.

"Kita sudah ambil kenyataan Abdul Hadi dan kertas siasatan kes sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, manakala Muhyiddin pula kita akan ambil kenyataan pada Selasa ini di Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

"Muhyiddin kita buka dua kertas siasatan susulan isu fatwa haram dan kenyataan yang menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa, manakala Abdul Hadi pula kertas siasatan dibuka kerana isu mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan," katanya.

Menurut beliau, tiada kertas siasatan baharu dibuka terhadap mana-mana pemimpin politik lain berhubung isu 3R.

Dalam pada itu, Ayob Khan berpuas hati dengan kelancaran proses mengundi walaupun hujan bermula jam 9 pagi di pusat-pusat pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

"Proses mengundi pada Sabtu turut dibantu dengan kekuatan 3,490 pegawai dan anggota ditugaskan di kawasan Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram," ujarnya.