PRK: Warga emas hidap strok tunai tanggungjawab mengundi

Petugas SPR menunjukkan saluran mengundi kepada keluarga Mohd Ramli Mohamed di pusat pembuangan undi SK Seri Melati, Taman Melati, Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu.
Petugas SPR menunjukkan saluran mengundi kepada keluarga Mohd Ramli Mohamed di pusat pembuangan undi SK Seri Melati, Taman Melati, Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Walaupun mengalami strok, namun seorang warga emas tetap menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati, Taman Melati di sini pada Sabtu.

Mohd Ramli Mohamed, 65, tiba di pusat pembuangan undi tersebut dengan berkerusi roda bersama anaknya, Noor Asmawati Ramli, 35, pada jam 8.20 pagi.

Menurut Noor Asmawati yang merupakan polis bantuan, bapanya sudah lima tahun mengalami strok dan hilang keupayaan bercakap serta pendengaran kurang jelas.

"Ayah mahu pergi mengundi selepas saya beritahu akan ada hari membuang undi pada hari ini bagi memilik wakil rakyat Parlimen Pulai.

"Ayah bangun seawal jam 4 pagi seperti kebiasaannya dan selepas saya cakap mahu pergi mengundi pada jam 8 pagi, ayah terus bersiap.

"Alhamdulillah walaupun tidak sihat, ayah dapat tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya ketika ditemui di pusat pembuangan undi tersebut.

Difahamkan Mohd Ramli bakal menyambut hari lahirnya esok.

Sementara itu, Mohamad Tarmizi Abdul Rahman, 45, dari Taman Dahlia yang pertama hadir di pusat pembuangan undi tersebut mengakui teruja untuk mengundi pada kali ini.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Tarmizi menunjukkan jarinya selepas selesai mengundi di pusat pembuangan undi di SK Seri Melati, Taman Melati, Tampoi, Johor Bahru, pada Sabtu.
Mohamad Tarmizi menunjukkan jarinya selepas selesai mengundi di pusat pembuangan undi di SK Seri Melati, Taman Melati, Tampoi, Johor Bahru, pada Sabtu.

Menurutnya yang masih bujang, ini kerana PRK Parlimen Pulai dirasakan amat meriah terutama suasana kempen berbanding pilihan raya negeri (PRN) Johor pada tahun lalu.

"Ini kali keempat saya mengundi. Saya datang awal kerana mahu mengelakkan kesesakan dan bimbang hujan walaupun rumah saya kira-kira 10 minit dari tempat pembuangan undi. Saya keluar rumah dan berjalan kaki ke tempat mengundi pada jam 6.45 pagi tadi.

"Harapan saya calon yang menang nanti akan dapat menyelesaikan masalah kerosakan jalan di Kempas yang sudah lama tidak dibaiki.

"Contohnya di kawasan depan pasar awam di sini kerap berlaku kemalangan termasuk mengakibatkan maut," katanya yang berniaga di pasar malam.