Aksi lima anjing K9 gamatkan Karnival Sinar Bestari

Leo daripada Unit K9 IPD KLIA bertindak menyerang seorang penjenayah yang bertindak keterlaluan.- Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Leo daripada Unit K9 IPD KLIA bertindak menyerang seorang penjenayah yang bertindak keterlaluan.- Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persembahan lima ekor anjing terlatih Unit K9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggamit suasana meriah dan menghiburkan.

Aksi anjing jenis German Shepherd, Leo mengejar penjenayah ternyata memukau tetamu yang hadir di Karnival Sinar Bestari yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Penyelia Unit K9, Sarjan Mejar S Simon berkata, kesemua anjing yang beraksi adalah terlatih, selain mempunyai kepakaran masing-masing termasuk mengesan dadah.

Katanya, kemahiran yang ada pada anjing-anjing Unit K9 mahu dikongsikan kepada orang ramai dengan tujuan memberi pendedahan dan makluman berinformasi.

"Ia sebahagian daripada tugas kami untuk berkongsi pengalaman dan kehebatan anjing-anjing K9 menjalankan tugas mereka.

"Terima kasih sebab bagi kami peluang untuk membuat persembahkan di Karnival Sinar Bestari.

"Semoga ia dapat memberi manfaat kepada semua orang yang hadir untuk kenal lebih lanjut tentang Unit K9," katanya yang ditemui pada Jumaat.

Unique bersama pemegangnya, Lans Koperal Timothy anak Encharang sedang mengesan dadah yang disimpan dalam bungkusan parcel. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Unique bersama pemegangnya, Lans Koperal Timothy anak Encharang sedang mengesan dadah yang disimpan dalam bungkusan parcel. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Artikel Berkaitan:

Tiga ekor anjing untuk operasi serba guna atau general purpose dog (GPD) iaitu Jack, Leo dan Kansas daripada jenis German Shepherd serta dua ekor lagi jenis Labrados iaitu Rik dan Unique daripada bahagian narkotik Unit K9 membuat persembahan mengagumkan kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, Simon berkata, anjing daripada GPD digunakan untuk mencari barang kes, mengesan serta mencari orang hilang.

Menurutnya, anjing GPD turut digunakan semasa mencari orang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

"Kami di Unit K9 Selangor mempunyai 11 ekor anjing terlatih bagi menjalankan tugas-tugas tertentu di seluruh negeri ini.

Dari kiri: Kansas, Leo dan Jack bersama penjaga masing-masing semasa membuat persembahan di Karnival Sinar Bestari yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Perolehan kesemua anjing ini adalah dari Eropah ketika mana semuanya masih belum dilatih iaitu ketika berusia setahun atau setahun lebih.

"Tugas kami adalah melatih anjing-anjing ini untuk melakukan misi-misi khas termasuk dalam kes narkotik.

"Kesemuanya patuh dan mengikut arahan daripada pemegang atau dog handler masing-masing," ujarnya.

Jack di bawah kendalian pemegangnya iaitu Koperal V Addison, sementara Lans Koperal Patrick S Vincent untuk Leo, Koperal Fidelis anak Umbat (Kansas), Koperal Umbat anak Selan (Rik) serta Lans Koperal Timothy anak Encharang (Unique).