Kejar fadilat, ibrah hari Jumaat

Rahim Azhari
Rahim Azhari
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam perlu menjadikan Jumaat sebagai hari yang ditunggu-tunggu kerana memiliki banyak fadilat dan kelebihan berbanding hari lain dalam seminggu.

Pendakwah bebas, Rahim Azhari menjelaskan, Nabi Muhammad SAW turut bersabda mengenai keistimewaan hari berkenaan yang mempunyai pelbagai kemuliaan serta barakah dengan cara meningkatkan 'ubudiyyah' atau pengabdian kepada ALLAH SWT.

"Mengikut hadis riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda, sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat kerana pada hari itu Nabi Adam diciptakan, dimasukkan ke dalam syurga dan dikeluarkan darinya.

"Kemudian Nabi Adam juga wafat pada hari Jumaat, begitu juga kiamat nanti akan berlaku hari itu. Semua kejadian besar berlaku pada hari Jumaat. Jadi umat Islam perlu mengagungkan hari tersebut sebagaimana diajar kepada kita semua," katanya ketika menyampaikan tazkirah Kashoorga sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Dalam pada itu Rahim menjelaskan, hari Jumaat juga turut mendapat gelaran 'sayyidul ayyam' atau penghulu segala hari.

Rahim ketika menyampaikan tazkirah sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.
Rahim ketika menyampaikan tazkirah sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Sehubungan itu, beliau berkata, hari tersebut seumpama perhimpunan mingguan bagi umat Islam kerana ada solat berjemaah dan khutbah Jumaat yang mewajibkan kaum Muslimin yang tidak uzur melaksanakannya.

Selain itu ujarnya, umat Islam turut digalakkan untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW.

Artikel Berkaitan:

"Nabi (SAW) berkata siapa yang berselawat sekali ke atas aku, maka ALLAH SWT akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali dan selawat itu akan dibentangkan di hadapan aku kelak.

"Ucapan selawat dan salam kita ke atas Rasulullah SAW memberi manfaat kepada Baginda yang akan sentiasa meningkat kesempurnaannya yang tiada berpenghujung," jelasnya.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari membuka tirai bermula hari ini dengan pelbagai acara menarik seawal jam 8.30 pagi hingga 7 malam nanti.

Penganjuran karnival selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti disediakan kepada pengunjung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini, sehingga Ahad ini.