Kes saman fitnah selesai, Roslin mohon maaf kepada Kenny Goh

Kes saman fitnah Kenny Goh (dua dari kiri) terhadap Roslin (dua dari kanan) selesai selepas bekas pemain perseorangan lelaki negara itu memohon maaf kepada Setiausaha Agung BAM berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Foto Bernama
Kes saman fitnah Kenny Goh (dua dari kiri) terhadap Roslin (dua dari kanan) selesai selepas bekas pemain perseorangan lelaki negara itu memohon maaf kepada Setiausaha Agung BAM berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah Datuk Kenny Goh Chee Keong terhadap Muhammad Roslin Hashim selesai selepas bekas pemain perseorangan lelaki negara itu memohon maaf kepada Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Muhammad Roslin, 48, ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain berkata, beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Goh kerana telah membuat kenyataan fitnah serta menyinggungnya semasa siaran langsung atau ‘Facebook Live’ di akaun Facebook beliau (Muhammad Roslin), Abe Lin pada 19 Januari 2022.

"Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Datuk Kenny Goh Chee Keong. Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.

"Saya sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Kenny melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali. Saya harap permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik Datuk Kenny serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi antara kami,” katanya yang turut beraku janji tidak akan mengulangi kenyataan fitnah, kata-kata kesat dan menyinggung Goh pada masa hadapan.

Roz Mawar kemudian merekodkan penghakiman persetujuan kes itu dan melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini pada 5,6,7,11 dan 12 September 2023.

"Saya doakan anda (Muhammad Roslin) juga berjaya. Semoga hubungan profesional dan peribadi pulih selepas ini,” kata Roz Mawar.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Jahabardeen Mohamed Yunoos mewakili Goh memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

"Terma penyelesaian antaranya defendan (Muhammad Roslin) perlu membuat permohonan maaf dengan membaca pernyataan maaf di mahkamah terbuka. Selain itu, permohonan maaf perlu disiarkan di empat media iaitu Berita Harian, Utusan, NST dan The Star,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Peguam Haijan Omar yang mewakili bekas pemain badminton nombor satu dunia itu mengesahkan perkara tersebut.

Sementara itu, Muhammad Roslin yang juga jurulatih badminton ketika ditemui pemberita berkata beliau berasa lega kerana semuanya telah berakhir dan akan menjadikannya sebagai pengajaran.

Goh pula berkata, beliau bersyukur segalanya selesai dengan baik dan menerima permohonan maaf Muhammad Roslin.

"Pelantikan Roslin dalam panel penasihat teknikal dibuat oleh Ahli Majlis BAM dan ia tiada kaitan dengan kes ini. Saya mengenali Roslin sudah lama, saya bersetuju dengan Roslin yang kita semua perlu bergerak ke hadapan,” katanya.

Goh, 57, selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Muhammad Roslin pada 28 Mac 2022 mendakwa, Muhammad Roslin mengungkapkan kenyataan fitnah dan menyinggungnya dalam Facebook Live menerusi akaun Facebook Abe Lin yang ditonton ratusan pengikutnya selain pemberita daripada pelbagai agensi berita, media cetak, media dalam talian dan media sosial.

Dakwa Goh, kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan sebagai Setiausaha Agung/Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih dan Latihan BAM serta perosak persatuan itu. - Bernama