Restoran D’Paya Empayar Zaman pikat selera orang kampung

Nasi goreng lamb chop yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Nasi goreng lamb chop yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
A
A
A

BENTONG - Penggemar sajian barat yang inginkan kelainan boleh berkunjung ke Restoran D’Paya Empayar Zaman di Blok 7, Mempaga 1, Bentong di sini yang menawarkan pelbagai menu menyelerakan pada harga berpatutan.

Restoran di tanah rancangan Felda yang menyajikan makanan barat itu diusahakan anak tempatan dengan 50 menu untuk dicuba.

Chicken chop, lamb chop, spagheti bolognese, spagheti carbonara, fish and chip, beef steak, burger kambing dan daging bakar serta banyak lagi sajian lain yang diolah mengikut cita rasa pelanggan.

Ada juga menu istimewa seperti nasi goreng chicken chop, nasi goreng lamb chop, nasi goreng beef steak dan nasi goreng tempura.

Menu berkenaan menjadikan restoran itu sebagai tumpuan, bukan hanya penduduk setempat malah pelanggan dari luar daerah.

Pemiliknya, Muhammad Sharizal Kamaruzaman, 37, berkata, semua makanan terutama sos dari restorannya merupakan resipi yang diolah sendiri.

Lulusan Diploma Seni Kulinari Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) itu berkata, jika tidak mahu mencuba sajian barat pelanggan juga boleh memilih masakan panas yang pasti menambat selera.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sharizal menunjukkan dua menu istimewa di Restoran D’Paya Empayar Zaman.
Muhammad Sharizal menunjukkan dua menu istimewa di Restoran D’Paya Empayar Zaman.

"Harga ditawarkan berpatutan atau setanding dengan hidangan. Saya menggunakan bahan dan rempah segar untuk rasa terbaik kepada pelanggan," katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Menurutnya, pelanggan juga boleh memesan lebih 20 minuman yang disediakan di Restoran D’Paya Empayar Zaman.

Muhammad Sharizal berkata, dia tetap meletakkan harga berpatutan walaupun hidangan barat memerlukan rempah yang banyak dan mahal.

Menurutnya, harga makanan di restorannya bermula daripada RM4 hingga RM16 sahaja.

Restoran D’Paya Empayar Zaman beroperasi di Blok 7 Mempaga 1, Bentong.
Restoran D’Paya Empayar Zaman beroperasi di Blok 7 Mempaga 1, Bentong.

"Saya mahu setiap pelanggan yang menjamu selera di sini pulang dengan gembira kerana harga dibayar sesuai dengan makanan dinikmati," katanya.

Muhammad Sharizal mengakui pada mulanya agak sukar untuk memikat hati pelanggan khususnya di kawasan kampung untuk datang ke restorannya bagi menikmati sajian barat itu.

Bagaimanapun katanya, lama-kelamaan sambutan pelanggan semakin baik dan kini dia mempunyai ramai pelanggan tetap.

"Pelanggan secara tidak langsung membantu promosi dari mulut ke mulut. Daripada situ saya akan dapat ramai pelanggan baharu," katanya.

Restoran D’Paya Empayar Zaman turut menawarkan khidmat katering untuk majlis perkahwinan, parti hari jadi dan pelbagai hari keraian lain.

Menurut Muhammad Sharizal, pelanggan diberi banyak pilihan menu termasuk nasi minyak, nasi putih, kurma daging, ayam goreng singgit, keli masak taucu, sambal belacan dan minuman sunquick.

Selain itu katanya, nasi briyani, dalca, daging masak ireng dan ayam madu juga boleh dipesan untuk disajikan kepada tetamu.

"Selain penduduk tempatan, ramai pelanggan dari luar daerah yang datang ke restoran ini dan menempah perkhidmatan katering sebab saya aktif mempromosi di Facebook," katanya.

Restoran D’Paya Empayar Zaman beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis dan 5 petang hingga 10 malam pada Jumaat serta Ahad dan ditutup setiap Sabtu.

Muhammad Sharizal turut merancang mahu menambah menu dan membesarkan restorannya supaya dapat menampung lebih ramai pelanggan.