PRK Pulai: 927 pegawai, anggota polis undi awal esok

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 927 pemilih terdiri daripada pegawai polis dan anggota akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, esok.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 46 orang akan mengundi di pusat mengundi awal Bilik Gerakan, Balai Polis Kempas, manakala 881 orang akan mengundi di Dewan Nusantara, Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.

Kedua-dua pusat mengundi awal akan dibuka serentak pada jam 8 pagi, namun tempoh masa mengundi di Balai Polis Kempas adalah sehingga jam 12 tengah hari.

Sementara itu, pusat mengundi awal di markas PPM Wilayah Dua, akan ditutup pada jam 5 petang.

PRK itu diadakan susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, pada 23 Julai lepas.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN tersebut.

SPR telah menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut pada Sabtu ini, selepas tempoh berkempen yang bermula pada 26 Ogos lepas, berakhir pada jam 11.59 malam, 8 September.

Artikel Berkaitan: