Wasiyyah Shoppe selesaikan kes pusaka RM700 juta

Ariffin Sabirin
Ariffin Sabirin
A
A
A

SHAH ALAM - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah yang berkepakaran dalam penyediaan dan pelaksanaan hibah, wasiat, pengurusan harta pusaka dan pengurusan harta amanah, berjaya menyelesaikan nilai harta pusaka pelanggan bernilai RM700 juta sejak 2004.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, nilai itu merangkumi harta pusaka yang berjaya diuruskan sehingga waris menerima hak mereka berdasarkan dokumen perancangan yang dibuat dan hukum syarak sehingga 31 Disember 2022.

“Harta pusaka ini terdiri daripada hartanah dan harta alih seperti saham syarikat, wang tunai di akaun bank, akaun pelaburan saham amanah, kenderaan, saham koperasi dan pelbagai bentuk harta pusaka yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, sejak operasi syarikat itu pada 2004, Wasiyyah Shoppe telah membantu lebih daripada 80,000 umat Islam seluruh Malaysia dalam merancang harta mereka melalui kaedah hibah, wasiat, harta sepencarian dan amanah.

Daripada jumlah keseluruhan pelanggan, 750 orang daripadanya telah meninggal dunia dan proses perundangan menuntut harta pusaka mereka di Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil berjaya dibantu urus sehingga waris menerima bahagian mereka.

“Perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad bersifat komprehensif. Kami membantu daripada peringkat pelanggan mula membuat dokumen perancangan harta mereka seperti hibah, wasiat dan amanah semasa hidup.

“Apabila mereka meninggal dunia, kami membantu pula waris-waris melalui semua proses perundangan sehinggalah ke tahap harta pusaka itu didaftarkan secara rasmi di atas nama waris-waris. Sebagai syarikat amanah berdaftar, Wasiyyah Shoppe mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan tugasan tersebut,” jelasnya.

Tambah Ariffin, apa yang lebih unik dan membuatkan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe mendapat sambutan baik masyarakat adalah kerana waris-waris dibantu melalui proses perundangan tuntutan harta pusaka tanpa terbeban dengan fi perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

“Kami faham faktor fi perkhidmatan menyebabkan ramai waris yang menangguhkan urusan harta pusaka. Waris bimbang mereka akan dikenakan pelbagai fi perkhidmatan yang tidak dapat dikenalpasti nilainya.

“Justeru, kami telah mengambil inisiatif menjadi satu-satunya syarikat amanah di Malaysia yang membantu waris-waris pelanggannya melalui semua proses perundangan tanpa perlu membayar apa-apa fi perkhidmatan. Harta pusaka juga diterima sepenuhnya oleh waris-waris tanpa dipotong dengan apa-apa fi,” katanya.

Ujar beliau, bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan melalui panel syariah yang berpengalaman luas dan berkepakaran tinggi di dalam hukum syarak, undang-undang syariah dan perundangan harta pusaka, syarikat itu sentiasa memastikan semua dokumen perancangan hartanya patuh syariah sepenuhnya dan dalam masa yang sama boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang di Malaysia.

Katanya, kejayaan Wasiyyah Shoppe Berhad menguruskan harta pusaka pelanggan sehingga ke tahap waris-waris menerimanya dengan sah, mudah dan tanpa fi perkhidmatan kepada waris adalah testimoni kepada keberkesanan perkhidmatannya.