Aksi lelaki tak berbaju pukul penunggang motosikal tular

Video tular memaparkan seorang lelaki tanpa memakai baju bertindak memukul seorang penunggang motosikal di Cheras Perdana.
Video tular memaparkan seorang lelaki tanpa memakai baju bertindak memukul seorang penunggang motosikal di Cheras Perdana.
A
A
A

KAJANG - Aksi samseng seorang lelaki tanpa memakai baju memukul seorang penunggang motosikal di Cheras Perdana, di sini, tular di media sosial, sejak Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian disyaki berlaku pada jam 11.25 pagi, Jumaat, sebuah motosikal keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelum kemalangan dengan sebuah motosikal lain.

"Seorang lelaki tanpa memakai baju menunggang sebuah motosikal melalui jalan utama itu gagal mengawal kenderaan lalu melanggar motosikal yang keluar dari simpang.

"Lelaki tanpa memakai baju itu terus bertindak memukul penunggang motosikal berkenaan dengan menggunakan tangan dan kaki," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Zaid berkata, video berdurasi 30 saat yang memaparkan kejadian berkenaan telah dirakam melalui kamera papan pemuka sebuah kereta sebelum dimuat naik dan tular di laman Telegram Info Semasa Official pada Sabtu.

"Sehingga kini, kita masih belum menerima apa-apa laporan berhubung kemalangan atau kejadian pukul tersebut daripada pihak yang terlibat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 279 dan 323 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut, boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804," katanya.

Artikel Berkaitan: