Pemuda UMNO desak siasat kebocoran dokumen memo dalaman AGC

Dr Muhammad Akmal
Dr Muhammad Akmal
A
A
A

JASIN - Pemuda UMNO di seluruh negara akan membuat laporan polis untuk mendesak siasatan terhadap dakwaan kebocoran dokumen kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh, berkata, laporan itu bagi melihat pengesahan dokumen berkenaan yang telah tersebar luas.

Menurutnya, ini juga membolehkan siasatan dijalankan terhadap perkara itu dan tindakan wajar diambil bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia.

"Kita mahu dokumen yang dikatakan yang telah dihantar kepada peguam negara pada ketika itu disahkan.

"Kita minta peguam negara yang baharu untuk mengesahkan dokumen yang tular atau tidak, " katanya ketika ditemui di Selandar di sini, pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata, sekiranya laporan berkenaan disahkan ketulenannya, maka pihaknya akan membuat satu lagi laporan kepada Suruhanjaya pencegahan Rasuah (SPRM) kerana didakwa terdapat penyalahgunaan kuasa oleh peguam terdahulu untuk menganiaya Najib.

Sebelum ini, tular satu dokumen di media sosial didakwa 'Memo Dalaman' daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Memo terbabit mendakwa antara lain cadangan pasukan pendakwaan bagi kes International Petroleum Investment Company (IPIC) bertarikh 10 September 2019.

Artikel Berkaitan:

Kandungan itu sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah adalah tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.