'Nak dapat RM30 pun payah'

Deretan teksi menanti giliran untuk mendapatkan penumpang di TSK, Pahang. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Ismail, Zulkiflee, Abdul Hamid, dan Mohamad Nasir)
Deretan teksi menanti giliran untuk mendapatkan penumpang di TSK, Pahang. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Ismail, Zulkiflee, Abdul Hamid, dan Mohamad Nasir)
A
A
A

APA Khabar Rakyat kali ini menyingkap keluh-kesah pemandu teksi di bandaraya Kuantan yang mendakwa semakin sukar mencari makan ekoran kurangnya penumpang yang lebih gemar menggunakan perkhidmatan p-hailing.

Beberapa hentian yang dahulunya meriah dengan deretan teksi kini sepi apabila hanya beberapa kerat yang masih setia menanti penumpang.

Ada dalam kalangan mereka terpaksa memilih pekerjaan lain untuk meneruskan hidup.

Ikuti laporan wartawan Nik Amirulmu'Min Nik Min berkenaan nasib dan permasalahan dihadapi golongan pemandu teksi ini.

KUANTAN - Ibarat hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itulah kehidupan yang kini dilalui pemandu teksi sekitar bandar Kuantan.

Bagi Mohd Ismail Saad, 65, dari Bukit Kuantan, di sini, memandu teksi bukan lagi pekerjaan sesuai bagi mereka yang ingin mencari pendapatan menyara keluarga dan memenuhi tanggungan lain.

“Dari pagi hingga lewat petang malah ada sampai malam keluar mencari penumpang, namun hasilnya hendak dapat RM30 pun susah.

“Usah kata nak bawa balik untuk keluarga, nak suap mulut sendiri pun kadang-kadang tak lepas.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini misalnya, saya keluar sejak jam 5.30 pagi lagi, namun hingga jam 1 petang belum ada seorang penumpang pun sedangkan kos minyak, makan minum dah habis RM30,” keluhnya.

Mohd Ismail berkata, itu belum dikira beban terpaksa ditanggung untuk kos servis, tayar dan membaiki kerosakan yang terpaksa menggunakan wang daripada sumber lain.

“Kalau nak harapkan hasil daripada teksi sendiri, nampaknya tersadailah,” katanya.

Menurut Mohd Ismail, banyak faktor yang menghimpit pemandu teksi ketika ini antaranya saingan e-hailing.

Rakannya, Zulkiflee Ahmad, 63, dari Jaya Gading, di sini, mengakui ramai rakan pemandu teksi telah menyerahkan permit dan memilih untuk mencari pekerjaan lain.

Katanya, dahulu banyak lokasi menjadi hentian atau stesen teksi di sekitar bandar Kuantan, namun kini kebanyakan nya sepi malah ada yang ditutup terus.

“Masa bas Rapid diperkenalkan, kami masih boleh bertahan namun selepas e-hailling beroperasi, nasib kami mula terkesan dan berlanjutan hingga ke hari ini.

“Penumpang sangat kurang, kalau dapat satu dua trip perjalanan sehari pun dah syukur sangat asalkan tidak pulang kosong,” katanya yang menjadi memandu teksi sejak 40 tahun lalu.

Menurutnya, pemandu teksi sepertinya sangat tertekan dek kerana pendapatan tidak menentu malah ada yang mengalami masalah rumah tangga hingga bercerai-berai.

Situasi sama turut dialami pemandu teksi di Terminal Sentral Kuantan (TSK), Mohamad Nasir Che Noh, 65.

Dia berkata, boleh dikatakan semua pemandu teksi di bandaraya ini menghadapi situasi sama.

Kebanyakan teksi yang beroperasi di bandar Kuantan lebih baik dan selesa namun perkhidmatan ditawarkan kurang sambutan penumpang.
Kebanyakan teksi yang beroperasi di bandar Kuantan lebih baik dan selesa namun perkhidmatan ditawarkan kurang sambutan penumpang.

Cuma bezanya dia dan beberapa rakan lain menawarkan perkhidmatan kepada penumpang bas yang turun di terminal itu untuk ke destinasi seterusnya.

“Di sini kita ikut sistem beratur dan terpaksa membayar sewa parkir.

“Masalahnya, penumpang bas turun ramai tapi yang guna khidmat teksi kurang.

“Kalau ada pun kena ikut giliran jadi menunggu berjam-jam itu seolah-olah rutin wajib bagi kami,” kata lelaki itu.

Jelasnya, kebanyakan teksi yang digunakan ketika ini adalah kenderaan baharu bukan usang dan busuk sebagaimana tanggapan segelintir pihak.

“Banyak modal terpaksa dikeluarkan demi keselesaan penumpang tetapi ‘pelaburan’ itu seakan tidak berbaloi apabila orang ramai tetap memilih e-hailing atas alasan tambang lebih murah.

“Kami tersepit kerana tambang dikenakan pada kadar yang telah ditetapkan mengikut permit,” katanya.

Nasib sama dialami Abdul Hamid Mat Nor, 65, yang ditemui ketika menunggu penumpang di hentian bas Pohon Buluh di sini.

Pesara tentera itu berkata, dia masih bertahan sebagai pemandu teksi memandangkan teksi dan permit yang digunakan milik sendiri dan berpencen.

“Dalam usia senja ini, inilah pekerjaan yang mampu buat dan kalau ada tanggungan lagi, dah lama berhenti.

“Dari pagi sampai tengah hari, beginilah (tiada penumpang),” katanya yang memandu teksi selepas tamat perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira 19 tahun lalu.

.............................................................................................................

Kerajaan perlu perkasa kembali perkhidmatan teksi

KUANTAN - Kerajaan digesa memperkasakan kembali perkhidmatan teksi termasuk di Kuantan bagi memastikan pengangkutan awam itu dapat terus bertahan.

Pemandu teksi, Mohamed Ariffin Abdullah, 66, berkata langkah itu sebagai jalan keluar kepada pelbagai isu dihadapi golongan terbabit ketika ini.

Menurutnya, jurang saingan antara teksi dan p-hailing yang menjadi antara faktor utama menekan pemandu teksi perlu dirapatkan terutama melibatkan kadar tambang.

“Kerajaan juga diminta mengkaji bantuan sewajarnya untuk pemandu teksi termasuk meneruskan kembali inisiatif seperti Kad Bantuan Teksi 1Malaysia yang pernah diperkenalkan bagi mengurangkan kos operasi.

“Inisiatif seperti ini amat diharapkan kerana ia dapat meringankan beban kami untuk membaiki, menyelenggara kenderaan agar sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat demi keselamatan serta keselesaan penumpang,” katanya.

“Selain itu, penyediaan hentian teksi di lokasi strategik seperti di kawasan pusat beli-belah dan tempat tumpuan ramai dengan kadar sewa parkir lebih murah juga wajar dipertimbangkan kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga digesa memantau operasi ‘prebet sapu’ yang dijalankan individu tertentu dipercayai dalam kalangan bekas pemandu e-hailing.

“Paling penting, perkhidmatan teksi juga perlu dipromosikan supaya penumpang kembali memilih perkhidmatan ini,” katanya.