Kekeliruan pengundi UMNO tidak pengaruh undi mana-mana parti

UMNO Johor mengaku ramai dalam kalangan pengundi yang sebelum ini menyokong parti itu kini keliru untuk membuat pilihan berikutan ketiadaan wakil UMNO dan BN bertanding dalam dua PRK yang berlangsung di negeri itu. (Gambar kecil: Hussain Yusri)
UMNO Johor mengaku ramai dalam kalangan pengundi yang sebelum ini menyokong parti itu kini keliru untuk membuat pilihan berikutan ketiadaan wakil UMNO dan BN bertanding dalam dua PRK yang berlangsung di negeri itu. (Gambar kecil: Hussain Yusri)
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kekeliruan dalam kalangan pengundi UMNO untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor tidak memberi sebarang pengaruh undi terhadap mana-mana parti.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, apa yang menjadi isu adalah faktor kepimpinan UMNO itu sendiri yang tidak menampakkan sebarang perubahan drastik sehingga kini.

“Kalau kita tengok dari sudut gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu, ia tidak ada permuafakatan yang jelas.

“Kita tahu Johor terkenal dengan gelombang UMNO yang kuat kerana dari sejarah juga di situ tertubuhnya UMNO di Johor.

“Kalau UMNO masih tiada perubahan terutama dari sudut kepimpinan, sudah tentu rakyat akan tolak parti itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Khamis, UMNO Johor mengaku ramai dalam kalangan pengundi yang sebelum ini menyokong parti itu kini keliru untuk membuat pilihan berikutan ketiadaan wakil UMNO dan BN bertanding dalam dua PRK yang berlangsung di negeri itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, semua jentera parti perlu memainkan peranan untuk memperjelaskan kepada pengundi, sekali gus mengelak mereka terus terkeliru.

Sementara itu, menurut Hussain Yusri, sekiranya situasi itu berlaku, maka peluang untuk Perikatan Nasional (PN) meraih undi daripada ahli UMNO dalam PRK kali ini adalah tinggi sekali gus memberi kelebihan kepada gabungan tersebut.

“Kalau kita tengok prestasi UMNO di PRN hanya menang 19 kerusi sahaja (daripada 108 kerusi yang ditandingi). Apa respon dan tindakan UMNO selepas kekalahan itu?

“Tidak ada respon sehingga sekarang ini. Jadi bila satu tindakan itu tidak dibuat secara drastik, datang pula PRK, soal pengundi saluran tiga itu tidak ada masalah tetapi masalahnya saluran satu atau dua.

Artikel Berkaitan:

“Pada saya, ini bukan soal keliru sebab mereka sudah konsisten dan ada disiplin untuk pergi ke arah mana yang sepatutnya mereka pergi. Kalau tanya saya, ia lebih kepada PN tetapi soal menang atau kalah itu, mungkin majoriti akan bertambah untuk PN,” ujarnya.