Jangan terlalu yakin penyokong BN akan undi calon PH - Khaled

Mohamed Khaled berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor pada Jumaat. - Foto Bernama
Mohamed Khaled berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan jentera BN supaya jangan terlalu yakin bahawa penyokong parti itu akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram nanti.

Mohamed Khaled berkata, ini berikutan ada penyokong tegar parti itu masih keliru dengan ketiadaan calon BN yang bertanding dalam PRK berkenaan selain wujud dalam kalangan mereka yang masih tidak dapat menerima kerjasama antara PH-BN.

"Ini pertama kali berlaku kita bersama (PH-BN), kerana sembilan bulan lepas kita berlawan. Maka, kita perlu urus keserasian dan ini satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan memandangkan Johor tidak terlibat dengan pilihan raya negeri enam negeri yang mendukung Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

"Saya sebutkan banyak kali, BN tidak bertanding, jadi penyokong tegar BN mungkin tengok apabila BN tidak bertanding, dia mungkin tidak tahu siapa yang dia nak (undi) dan perkara ini kita perlu uruskan," katanya.