Pusat hiburan diserbu, GRO dicekup

Sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, diserbu polis menerusi Ops Noda, awal pagi semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan terletak di Jalan Klang Lama, di sini, yang dipercayai menggajikan wanita warga asing sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) diserbu polis.

Operasi bermula kira-kira jam 2.40 pagi semalam dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Roslan Khalid berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan, pihaknya menahan 12 wanita warga Thailand berusia lingkungan 20 hingga 40-an bersama seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis.

"Semakan mendapati wanita ini menyalahgunakan pas lawatan sosial dan disyaki bekerja sebagai GRO.

"Selain itu, polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 16 pelanggan serta pengawal keselamatan pusat hiburan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, bagaimanapun pelanggan serta pengawal keselamatan terbabit dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi.

Katanya, kesemua GRO serta penjaga premis ini kini dibawa ke IPD Brickfields untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55(B) Akta Imigresen serta Seksyen 4 Akta Hiburan 2003," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia