Airbnb, MDEC kerjasama tarik warga nomad digital inap di Malaysia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA Digital Economy Corporation (MDEC) dan Airbnb mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam inisiatif DE Rantau MDEC.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kerjasama itu akan mengukuhkan inisiatif DE Rantau agensi itu dan menonjolkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memacu transformasi digital dan memperkaya ekonomi digital.

"Menerusi platform global Airbnb yang menawarkan pelbagai pilihan penginapan bagi memenuhi keperluan warga nomad digital, kami bersedia mewujudkan peluang tanpa had untuk pekerja jarak jauh, serta melonjakkan Malaysia sebagai hab terkemuka di rantau in

"Pada masa ini, kami mempunyai lebih daripada 1,400 penyenaraian DE Rantau Hub mesra nomad digital di semua platform dan kami menyasarkan 2,000 pada akhir tahun ini,” katanya pada majlis menandatangani MoU di pejabat MDEC di sini hari ini.

Mahadhir juga menyatakan bahawa trend nomad digital berkemungkinan kekal untuk beberapa tahun lagi, walaupun terdapat halangan dan cabaran yang mungkin dihadapi semasa proses itu.

Pengarah Dasar Awam Asia Pasifik Airbnb, Steven Liew berkata, peningkatan trend kerja jarak jauh membawa potensi yang sangat besar kepada ekonomi, selain menyumbang kepada pelancongan inklusif yang akan memperkasakan lebih banyak destinasi dan komuniti tempatan.

"Inisiatif DE Rantau oleh MDEC akan memacu penerapan digital dan mobiliti profesional, di samping merancakkan pemulihan pelancongan dalam jangka panjang.

"Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pengembara dapat terus menikmati pelbagai penginapan unik dalam pelbagai lingkungan harga, baik untuk nomad digital dalam pengembaraan solo selama sebulan, ataupun keluarga yang menikmati percutian hujung minggu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kerjasama ini, Airbnb dan MDEC akan bekerjasama untuk mengenal pasti dan mempromosikan lebih daripada 600 penyenaraian DE Rantau Hub yang mesra nomad digital di Airbnb, dengan lebih banyak lagi penyenaraian yang bakal diiktiraf oleh MDEC pada bulan-bulan akan datang.

Penyenaraian yang diiktiraf MDEC tersebut terletak di kawasan tumpuan pelancongan seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Langkawi, akan menawarkan kemudahan yang mesra nomad digital kepada para pengembara.

Ini termasuk ruang kerja khusus, WiFi, dapur, dan kemudahan dobi yang sesuai untuk penginapan selama sebulan atau lebih lama.

Bagi menarik kunjungan lebih ramai nomad digital ke Malaysia, Airbnb telah melancarkan laman airbnb.com/liveandworkinmalaysia, yang menampilkan semua penyenaraian DE Rantau Hub yang telah diiktiraf oleh MDEC dan mesra kerja jarak jauh. - Bernama