Mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara dijangka Oktober ini - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bercadang mengadakan mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara seawal Oktober ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, Majlis Tenaga Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Kementerian Ekonomi sebagai sekretariat, akan menetapkan hala tuju dan dasar strategik peringkat tinggi yang membolehkan jawatan kuasa kerja untuk menyelaras dan melaporkan kemajuan mengikut peringkat.

"Penubuhan Majlis Tenaga Negara adalah isyarat kukuh kepada hasrat kerajaan untuk bergerak melebihi pelan tindakan dan aspek penting pelaksanaannya,” katanya dalam ucap tama pada hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga di sini hari ini.

Rafizi berkata, bagi merealisasikan manfaat ekonomi kepada negara, terdapat tiga struktur kritikal yang akan menjadi asas kepada matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Menurutnya, Malaysia memerlukan tadbir urus yang kukuh, pembiayaan yang besar dan sistem pertukaran yang boleh dipercayai dan telus.

Kemudahan Peralihan Tenaga Negara bukan sahaja satu lagi kemudahan yang menempatkan pelaburan kerajaan, malah akan melaksanakan instrumen kewangan gabungan yang inovatif bagi menyatukan pembiayaan daripada saluran awam, swasta dan dermawan, katanya.

"Kerajaan melaksanakannya dengan membuat pelaburan bersama dalam projek-projek utama sebagai modal konsesi atau menerusi institusi kewangan pembangunan, atau secara aktif, membangunkan projek boleh dibankkan yang sedang dilaksanakan melalui bantuan teknikal.

"Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan dana hijau tempatan dan antarabangsa yang telah mencatatkan rekod tertinggi pada tahun lepas dan dijangka terus menerima keyakinan pelabur sekiranya kita melaksanakannya dengan berkesan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rafizi berkata, Malaysia tidak akan berupaya memafaatkan sepenuhnya potensi sebenar tenaga boleh baharu (TBB) tanpa mewujudkan pertukaran tenaga fizikal di negara ini.

Beliau berkata di peringkat asas, pertukaran perlu kepada negara untuk mengenakan premium harga TBB daripada perdagangan rentas sempadan.

"Apabila pertukaran itu matang, produk yang dibentuk pasaran boleh dicipta untuk memanfaatkan lagi potensi nilai pasaran berbeza yang menghasilkan pulangan baik kepada peserta,” katanya.

Rafizi berkata, pertukaran itu juga boleh memudahkan kesalinghubungan yang lebih erat di Asia Tenggara, yang saling memberi manfaat kepada rantau ini sebagai satu blok ekonomi tunggal.

"Untuk menjadikan pertukaran ini telus dan adil, agregator pasaran tunggal perlu disediakan supaya pertukaran ini dipercayai bukan sahaja oleh pembeli dan penjual tempatan, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Peralihan Bertanggungjawab 2050, laluan rendah karbon untuk sektor tenaga bermula kini hingga 2050, yang lebih progresif berbanding Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 yang dinyatakan sebelum ini.

Rafizi berkata, kerajaan juga memanfaatkan potensi nilai ekonomi yang ditawarkan oleh inisiatif dan pengupaya ini, dengan kerajaan menjangka peningkatan 10 hingga 15 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar daripada produk penciptaan pasaran dengan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

"Bagi perniagaan pula, infrastruktur dan teknologi akan menjadi pendorong untuk pelaburan masuk. Campuran tenaga lebih bersih dan kecekapan tenaga juga akan mempersiapkan industri kita agar kita bersedia apabila perhatian diberikan kepada produk lebih hijau.

"Untuk rakyat, sebanyak 350,000 pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor HGHV di seluruh negara. Apa yang penting, sebanyak 70 peratus daripada keuntungan pendapatan akan dinikmati isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya. - Bernama