PRK: Pemuda UMNO yakin dapat pujuk akar umbi pilih calon PH

Dr Muhamad Akmal (tiga dari kanan) dan Suhaizan ( dua dari kanan) pada program santai di Medan Selera Taman Cempaka di Kempas pada Isnin.
Dr Muhamad Akmal (tiga dari kanan) dan Suhaizan ( dua dari kanan) pada program santai di Medan Selera Taman Cempaka di Kempas pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO mengakui berdepan cabaran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai bagi memujuk akar umbi memilih calon daripada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, akar umbi akan diberikan kefahaman tentang pentingnya memberi sokongan kepada calon PH agar dapat memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Ini kali pertama, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding di Parlimen Pulai, sudah tentu akan ada cabarannya.

"Namun UMNO ada strategi, kita akan cari akar umbi, beri penjelasan tentang sokongan yang perlu diberikan kepada calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan," katanya selepas Program Santai di Medan Selera Taman Cempaka di Kempas pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah dan calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.

Pada Ahad, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan akan memujuk ketua cawangan bahagian itu yang menolak calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.

Nur Jazlan dilaporkan berkata, beliau akan berusaha keras untuk memujuk ketua dan ahli UMNO di peringkat akar umbi bagi memberikan sokongan padu kepada calon PH, Suhaizan Kayat.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal menjelaskan kehadiran dirinya ke Parlimen Pulai membuktikan solidariti UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun UMNO dan BN tidak bertanding buat kali pertama di Parlimen Pulai, tetapi Pemuda UMNO tetap datang beri sokongan.

"Saya sudah arahkan semua Pemuda Johor dan seluruh negara berkampung di Pulai dan Simpang Jeram untuk kita pastikan pada hari mengundi, 9 September nanti undi daripada BN dapat dizahirkan beri kepada PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan," ujarnya.