KKM adakan operasi khas banteras penjualan air zamzam tak sah

Kementerian Kesihatan Malaysia. Gambar hiasan.
Kementerian Kesihatan Malaysia. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah mengadakan operasi serbuan khas di beberapa kawasan bagi menyiasat aktiviti penjualan serta pengedaran produk yang didakwa sebagai air zamzam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, hasil daripada operasi yang dijalankan di ibu kota pada Jumaat lepas, seorang individu didapati menjual produk air zamzam secara tidak sah di premis perniagaan persendirian.

Beliau berkata, serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Pejabat Kesihatan Cheras itu telah menyita sebanyak 83 botol atau 41.5 liter produk air zamzam bernilai RM2,075.

"Di samping itu, satu notis kompaun telah dikeluarkan kepada individu yang terlibat dengan nilai RM3,000 disebabkan kesalahan di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Dr Muhammad Radzi berkata, satu serbuan khas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut dijalankan pada Isnin lepas di Petaling Jaya dan sebanyak 10 botol (5 liter) air zamzam bernilai RM1,600 telah dirampas dengan satu notis kesalahan di bawah peraturan sama dikeluarkan.

Selain itu, beliau berkata, hasil aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan air zamzam adalah berjumlah RM83,618.20 dan 32 iklan berkaitan penjualan produk itu telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang.

Katanya, hasil pemantauan di media sosial sejak 2021 hingga kini, sebanyak 63 iklan air zamzam telah dipadamkan daripada platform itu.

"Air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

"Dalam kes ini, didapati Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan,” katanya.

Justeru, Dr Muhammad Radzi menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan membeli produk air zamzam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan, selain melarang penjualannya di semua platform sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian.

"Mana-mana peniaga atau pengedar yang masih mempunyai stok air zamzam tersebut diarahkan untuk menghentikan serta merta penjualan dan seterusnya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau menyalurkan aduan menerusi laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq. - Bernama