1MDB: BNM syor denda RM23 juta tapi AG kurangkan kepada RM15 juta - Zeti

Zeti (tengah) hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi hari ini.
Foto Bernama
Zeti (tengah) hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi hari ini.
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini mendedahkan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa bank pusat itu sebenarnya telah mengesyorkan penalti RM23 juta terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun Peguam Negara (AG) kemudian mengurangkan jumlah denda kepada RM15 juta.

Saksi berumur 76 tahun itu berkata, untuk mengenakan penalti, BNM memerlukan persetujuan atau kebenaran AG pada masa itu.

"AG menolak jumlah yang disyorkan oleh kami. Kami (BNM) mengesyorkan RM23 juta, namun AG mengurangkannya kepada RM15 juta,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali merupakan Peguam Negara pada masa itu.

Dalam kenyataan saksinya, Zeti memberitahu bahawa ketidakupayaan 1MDB untuk membawa balik wang itu dan memberikan bukti mengenai status dana, mengakibatkan kompaun dikenakan ke atas dana kekayaan berdaulat itu.1MDB membayar kompaun pada 25 Mei 2016.

Muhammad Shafee: Adakah terdapat sebarang percubaan oleh menteri kewangan ketika itu (Najib) untuk mengetepikan denda yang dikenakan ke atas 1MDB ini? Zeti menjawab, "Saya tidak tahu".

Selain itu, Zeti juga menegaskan bahawa AmBank memberitahunya bahawa Najib akan membuka akaun dengan bank itu, tetapi berkata, pengarah urusan bank berkenaan Cheah Tek Kuang tidak memberitahunya bahawa ada derma yang dijangka akan masuk.

Zeti sekali lagi menegaskan bahawa bank pusat tidak menjalankan kajian sewajarnya ke atas akaun individu, dan itu adalah kewajipan institusi kewangan masing-masing.

Keterangan Zeti dilihat bercanggah dengan keterangan Tek Kuang sebelum ini sebagai saksi pendakwaan ke-39 dalam perbicaraan 1MDB yang sama, apabila katanya dia telah memberitahu Zeti mengenai 'derma' yang dikatakan akan tiba.

Tek Kuang pada 4 Oktober 2022, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia telah mengikuti arahan pengerusi AmBank dan pergi ke rumah Najib pada awal 2011 untuk membantu Najib dengan dokumen pembukaan akaun bank, dan Najib mendakwa akan ada AS$100 juta derma yang datang dari kerajaan Arab Saudi untuk beliau, khusus bagi pelaksanaan aktiviti berkaitan Islam.

Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kesnya berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Foto Bernama
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kesnya berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Foto Bernama

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama