Agih 20,000 naskhah buku Inggeris

Kamaruzzaman (dua, kiri) menyaksikan pertukaran MoU di antara Yaysan JCorp dan The Asia Foundation di Dewan Muafakat MDSR.
Kamaruzzaman (dua, kiri) menyaksikan pertukaran MoU di antara Yaysan JCorp dan The Asia Foundation di Dewan Muafakat MDSR.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Johor Corporation (Jcorp) memperkukuhkan komitmen tanggungjawab korporatnya menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Yayasan Jcorp dengan The Asia Foundation.

Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, MoU tersebut bagi mengagihkan 20,000 naskah buku ilmiah Bahasa Inggeris bernilai RM2 juta setahun, selain menjayakan program ‘Book For Asia’ .

“JCorp amat komited dalam usaha untuk memperkasakan bidang pendidikan seperti menganjurkan Program Tuisyen Yayasan JCorp, Program Kelas Rancangan Usahawan, Program Kewangan Pro Du-it dan menyalurkan bantuan pelajaran.

“Saya mengalu-alukan inisiatif Yayasan JCorp dan The Asia Foundation dengan sokongan padu Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan dalam merealisasikan Books For Asia yang melibatkan komuniti pendidikan dari seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Program Jalinan Ukhuwah Sempena 50 Tahun Penubuhan JCorp di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), semalam.

Turut hadir menyaksikan pertukaran MoU itu ialah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ), Azman Adnan dan wakil The Asia Foundation, Sharifah Shahirah Idid.

Katanya, dijangkakan 500 buah sekolah akan terpilih menerima sejumlah 15,000 naskah buku, manakala 5,000 naskah lagi akan diedarkan kepada agensi yang akan dikenalpasti kelak bagi tempoh 2019 hingga 2021.

Beliau juga berharap usaha ini dapat meningkatkan prestasi serta penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda selain membuka peluang kepada JCorp untuk mengeratkan hubungan dan mendekati komuniti tempatan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Jcorp yang mencapai 50 tahun penubuhannya pada tahun ini akan menjadikan pengalaman-pengalaman sebelum ini sebagai salah satu langkah untuk lebih berkeyakinan dan maju kelak.

“Selain melaksanakan pembangunan negeri dan perindustrian, JCorp juga diamanahkan untuk melaksanakan program dan projek kepentingan masyarakat serta kebajikan rakyat sebagai memenuhi tanggungjawab korporatnya.

“Contohnya, melalui program Jalinan Ukhuwah seperti yang diadakan hari ini (semalam), ia menjadi wadah kepada JCorp untuk bersama-sama hadir ke dalam masyarakat akar umbi serta menyantuni kumpulan sasaran melalui program yang dianjurkan,” katanya.