Warga emas bangga hias laman rumah dengan Jalur Gemilang

Syed Nor berada di laman rumahnya di Kampung Raja, Tepuh di Kuala Nerus yang dihias dengan lebih 30 bendera.
Syed Nor berada di laman rumahnya di Kampung Raja, Tepuh di Kuala Nerus yang dihias dengan lebih 30 bendera.
A
A
A

KUALA NERUS - Biarpun dilahirkan tujuh tahun awal dari tarikh kemerdekaan negara, seorang warga emas tetap berbangga berkongsi tarikh lahir pada 31 Ogos dan tidak pernah ketinggalan menghias laman rumahnya dengan Jalur Gemilang setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Syed Nor Syed Ali, 73, berkata, kesedaran untuk memasang bendera tercetus selepas dia mengikuti rombongan anjuran Felcra Berhad kawasan Bukit Sudu, di sini ke sebuah kawasan di Tanjung Balau, Indonesia pada 2015.

Menurutnya, perbezaan cara hidup masyarakat di kawasan itu dengan yang ada di Malaysia menyebabkan dia terfikir untuk terus menyemarakkan semangat cintakan negara.

"Waktu tu, saya lihat suasana di situ jauh berbeza dengan apa yang kita semua nikmati di Malaysia. Kanak-kanak kecil di sana seawal usia 9,10 tahun sudah bekerja untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan.

"Bermula dari situ, perasaan saya berbaur. Rasa bangga kerana dilahirkan di Malaysia, sebuah negara merdeka yang rakyatnya hidup dalam suasana harmoni, aman dan damai. Terharu dengan pengorbanan pahlawan-pahlawan dahulu yang menuntut kemerdekaan negara dengan nyawa dan darah. Itu jangan kita lupa.

"Kita hidup dalam keadaan aman dan tenteram walaupun dikelilingi kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Ini satu perkara yang perlu dibanggakan oleh semua rakyat di negara ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Raja, Tepuh dekat sini.

Syed Nor (dua dari kiri) merakam swafoto bersama anaknya, Tuan Sharifah Noraini (kiri) dan Sharifah Nor Diana serta cucu nya berusia tiga bulan.
Syed Nor (dua dari kiri) merakam swafoto bersama anaknya, Tuan Sharifah Noraini (kiri) dan Sharifah Nor Diana serta cucu nya berusia tiga bulan.

Syed Nor yang dilahirkan pada 31 Ogos 1950 di kampung tersebut dikurniakan lapan anak dan enam cucu hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Tuan Nafisah Tuan Muda, 60.

Warga emas yang bekerja sebagai peniaga itu kini tinggal bersama empat orang anak di rumah berkenaan manakala anak-anak yang lain bekerja di Kuala Lumpur.

Menurut Syed Nor, semangat patriotisme yang mendalam dalam dirinya diharap dapat diteruskan oleh anak dan cucunya pada masa akan datang.

Sementara itu, anaknya, Tuan Sharifah Noraini Syed Nor, 40, berkata, mereka sekeluarga akan berkumpul di kampung pada 31 Ogos setiap tahun bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan negara serta meraikan hari lahir bapanya.

"Ada dua tarikh yang kami adik beradik akan berkumpul iaitu ketika sambutan raya enam dan 31 Ogos. Memang semua akan balik ke rumah untuk menikmati masa bersama keluarga.

"Biasanya pada 31 Ogos, kami semua akan bertolak seawal jam 7 pagi bersama-sama untuk menyaksikan perarakan merdeka di bandar Kuala Terengganu, tak kiralah sama ada di Batu Buruk atau di mana-mana lokasi yang ada perarakan sempena ulang tahun Hari Kebangsaan.

"Kami akan luangkan seharian masa bersama keluarga dan pada sebelah malam pula kami akan bersama-sama raikan sambutan ulang tahun kelahiran bapa tercinta," ujarnya.

Tuan Sharifah Noraini memberitahu, mereka begitu berbangga kerana mempunyai seorang ayah yang memiliki semangat patriotisme tinggi.

"Insya-ALLAH apa yang dilakukan oleh bapa saya akan kami teruskan sehingga ke anak cucu," katanya.