PH mampu pertahan kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

Saifuddin Nasution (lima dari kiri) bergambar bersama sebahagian ahli jawatankuasa Masjid Ar Raudhah Sungai Durian selepas Majlis Penyerahan 'Mock Cheque' Sumbangan bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar Raudhah Sungai
Durian, Pokok Sena, di sini, pada Sabtu.
Saifuddin Nasution (lima dari kiri) bergambar bersama sebahagian ahli jawatankuasa Masjid Ar Raudhah Sungai Durian selepas Majlis Penyerahan 'Mock Cheque' Sumbangan bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar Raudhah Sungai Durian, Pokok Sena, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

POKOK SENA - Pakatan Harapan (PH) diyakini mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan terus menjadi milik Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pihaknya menjangkakan dapat mengekalkan kedua-dua kerusi berdasarkan pemerhatian situasi semasa di kawasan tersebut.

"Semalam saya berada di Johor, saya optimis Simpang Jeram dan Pulai akan dapat dipertahankan PH dan kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan 'Mock Cheque' Sumbangan Menteri Dalam Negeri bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar Raudhah Sungai Durian, Pokok Sena pada Sabtu.

Ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa gelombang PN bakal melanda Johor, Saifuddin berpandangan, perkara itu akan terjawab pada keputusan PRK diumumkan 9 September nanti.

Pada Sabtu, penamaan calon untuk PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menyaksikan persaingan tiga penjuru bagi merebut kedua-dua kerusi tersebut.

Bagi kerusi Parlimen Pulai, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat yang merupakan calon PH akan menentang Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai Zulkifli Jaafar dari PN dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi,

Bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Nazri Abd Rahman yang merupakan calon PH bagi DUN Simpang Jeram akan menentang pakar bedah, Dr Mazri Yahya mewakili PN dan calon Bebas, S Jegananthan.

Sebelum itu, Saifuddin menyerahkan 'mock cheque' sumbangan sebanyak RM120,000 kepada Pengerusi Masjid Ar Raudhah Sungai Durian, Ahmad Sayuti Ayob untuk pembelian van jenazah untuk kegunaan kariah masjid berkenaan.