Ahmad Zahid akui penolakan ahli parti, orang Melayu beri kesan terhadap UMNO

Ahmad Zahid (tengah) menurunkan tandatangan menyempurnakan Majlis Perasmian Program Belia dan Desa Madani @KKDW di B5 Street Market, Tampoi, Johor Bahru pada Jumaat.
Ahmad Zahid (tengah) menurunkan tandatangan menyempurnakan Majlis Perasmian Program Belia dan Desa Madani @KKDW di B5 Street Market, Tampoi, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui penolakan ahli parti dan orang Melayu terhadap UMNO memberi kesan terhadap parti itu.

Pengerusi BN itu berkata, ini disebabkan kerjasama antara UMNO dan DAP yang sebelum ini bermusuhan sehingga ada yang melabelkan hubungan itu sebagai UMDAP malah istilah tersebut turut menghantui mereka.

Sehubungan itu katanya, BN perlu bekerja keras untuk meyakinkan ahli parti dan rakyat di peringkat akar umbi bahawa kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) itu demi kebaikan pelbagai kaum serta tidak perlu khuatir.

"Penolakan ahli UMNO dan orang Melayu agak terkesan kepada parti, tetapi proses pencerahan dilakukan BN dan selepas itu diterima baik, ini tidak mustahil dilakukan oleh kami (BN-PH)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Belia dan Desa Madani @KKDW di B5 Street Market, Tampoi di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Pada Khamis, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN telah melakukan post-mortem terhadap kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada penerangan dan ‘war room’ gabungan itu selepas keputusan tidak menyebelahi BN.

“Kita tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya kita akan mara ke hadapan. Saya sendiri akan turun ke 191 bahagian di seluruh negara.

“Saya berhajat untuk bertemu bukan sahaja kepimpinan empat peringkat tapi juga ketua cawangan, ketua Wanita dan Ketua Pemuda Cawangan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerjasama dengan PH atau DAP bukan perkara baharu kerana sebelum ini UMNO pernah bekerjasama dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

"Ini bukan perkara baharu buat BN, kita pernah bekerjasama dengan Gerakan pada satu ketika dahulu yang merupakan pembangkang menguasai kerajaan Pulau Pinang ketika itu," katanya.

Penolakan ahli UMNO dan orang Melayu katanya, memang berlaku ketika itu tetapi proses pencerahan dilakukan kerajaan BN pada 1974 sebelum diterima baik selepas itu.

"Ini tidak mustahil untuk dilakukan oleh kami (PH-BN) biarpun serangannya amat luar biasa dengan pelbagai fitnah dan juga isu yang dibangkitkan.

"Apa yang penting dalam negara kita ini adalah kebersamaan dan kesefahaman di antara pelbagai kaum, budaya dan agama mesti ditunjukkan supaya tidak timbul dan prasangka kaum.

"Ini adalah penting kerana kita ingin membentuk sebuah negara Malaysia Madani dengan kepelbagaian kaum tanpa kita meninggalkan keindukan bangsa negara ini," ujarnya.