‘Kita tengok UMNO atau PN yang terkubur di Johor’ - Akmal

Muhamad Akmal Saleh
Muhamad Akmal Saleh
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa parti keramat tersebut akan berkubur di Johor.

Menurutnya, Sanusi sendiri gagal membuktikan Perikatan Nasional (PN) mampu menawan enam negeri semasa pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

“Jangan riak dan bongkak wahai menteri besar. Dulu dengan sombong kata PN menang di enam negeri tetapi akhirnya tidak.

"Kita tengok sama ada Johor ini menjadi kubur untuk UMNO atau kubur untuk PN. Kita jumpa nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi berkata, gelombang parti itu yang melanda negara kini tidak berupaya disekat dan akan mara ke negeri selatan termasuk Johor.

Ujarnya, berdasarkan beberapa petanda, PN yakin bakal mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

Ia susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.