Belia perlu rebut peluang ceburi bidang TVET - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid melakukan gimik perasmian sempena Majlis Perasmian Program Belia Desa Madani @ KKDW di B5 Street Market, Pusat Bandar Tampoi Johor Bahru, pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Zahid melakukan gimik perasmian sempena Majlis Perasmian Program Belia Desa Madani @ KKDW di B5 Street Market, Pusat Bandar Tampoi Johor Bahru, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Golongan belia perlu merebut peluang menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana kursus yang ditawarkan telah disesuaikan mengikut keperluan pasaran guna tenaga sekali gus menjamin peluang pekerjaan pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan institusi TVET dan pihak pemain industri bagi memastikan lepasan bidang itu akan terus masuk ke pasaran.

"Di samping itu, ketika bekerja juga peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat kursus diploma dan ijazah sarjana muda akan terus ditawarkan kepada mereka. Jadi, bukan hanya mendapat kemahiran ketika bekerja yang bergaji penuh malah mereka turut mendapat peluang menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

"Sehubungan itu, belia perlu merebut peluang ini dan kita mahu mereka jadikan TVET ini sebagai pilihan pertama dan bukan pilihan kedua,” katanya selepas merasmikan Program Belia Desa MADANI@KKDW di B5 Johor Street Market di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tahun lepas, kebolehpasaran graduan TVET mencapai tahap sehingga 92.5 peratus sekali gus membuktikan bidang itu telah melahirkan ramai belia yang mempunyai peluang pekerjaan dalam industri.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, tiga elemen dalam TVET iaitu kemahiran, pemahiran semula dan peningkatan kemahiran akan terus diutamakan bagi melahirkan lebih ramai generasi belia berdaya saing serta berkemahiran tinggi dalam sektor perkhidmatan.

"Skilling iaitu memberikan latihan kemahiran dan kedua, reskilling iaitu kursus tambahan supaya mereka lebih berketerampilan dan berkemahiran manakala upskilling ialah bagi mempertingkat kursus kemahiran bersesuaian dengan keperluan dan permintaan pasaran guna tenaga.

"Kesemua elemen ini penting supaya mereka dapat menggenggam ijazah dan kelulusan akademik yang lebih tinggi tanpa meninggalkan kemahiran yang telah mereka ceburi," katanya.

Beliau berkata setakat ini, terdapat sejumlah 1,344 institusi TVET awam dan swasta di seluruh negara termasuk di bawah kerajaan negeri. - Bernama