Inflasi mereda dalam tempoh lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar inflasi keseluruhan di Malaysia mereda daripada 4.0 peratus kepada 2.0 peratus, dalam tempoh lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kadar inflasi dalam sektor komunikasi di negara juga telah mereda daripada 0 peratus kepada -3.7 peratus, pada Julai lepas.

"Di pihak KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital), insya-ALLAH pelbagai inisiatif mengurangkan beban kewangan rakyat dalam sektor komunikasi akan diteruskan. Kita akan terus bekerja dan berkhidmat untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia, terus mereda kepada 2.0 peratus pada Julai 2023 iaitu yang terendah setakat tahun ini, dengan mata indeks mencatat 130.5 berbanding 127.9 bagi tempoh sama tahun lepas.

Kadar inflasi yang mencatat 2.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun juga, menunjukkan aliran yang menyederhana sejak Januari pada 3.7 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan perlahan kadar inflasi itu, didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel pada 5.0 peratus; makanan dan minuman bukan alkohol (4.4 peratus); kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.6 peratus) manakala kedua-dua kumpulan kesihatan dan pendidikan masing-masing meningkat 2.0 peratus. - Bernama