KBS tingkat sasaran 100,000 belia sertai Sekolah Rukun Negara

Adam Adli
Adam Adli
A
A
A

MELAKA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini meningkatkan sasaran penyertaan belia dalam Program Sekolah Rukun Negara kepada 100,000 peserta sehingga penghujung tahun ini, sebagai usaha menyemarakkan kefahaman dan pengetahuan demokrasi terhadap golongan berkenaan.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, jumlah itu ditingkatkan susulan sasaran awal bagi peringkat asas iaitu 60,000 penyertaan sudah hampir dicapai menerusi pendekatan secara bersemuka dan digital seperti platform media sosial TikTok, Youtube dan Facebook.

"Tahun ini sepatutnya kita letak sasaran 60,000 peserta tetapi memandangkan kita sudah pun mencapai peringkat asas iaitu lebih 30,000 penyertaan, jadi kita 'step up' sikit sepanjang tahun ini dengan pastikan mendapat 100,000 peserta," katanya selepas hadir merasmikan Hari Terbuka, Hari Koperasi dan Mini Karnival Bulan Kebangsaan 2023 di Kolej Vokasional Melaka Tengah di sini pada Rabu.

Katanya, penyertaan tersebut juga akan diperluaskan di negeri-negeri lain seperti Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak selepas program itu berjaya menarik penyertaan belia khususnya dari negeri-negeri yang menghadapi pilihan raya negeri baru-baru ini.

Program inisiatif KBS menerusi Rakan Muda itu dilaksanakan menerusi tiga fasa iaitu kursus asas yang diadakan selama sehari, pertengahan (tiga hari dua malam) serta lanjutan (empat hari tiga malam), dengan kursus asasnya boleh diadakan di mana-mana lokasi termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi manakala kursus pertengahan dan lanjutan diadakan di 18 Kem Wawasan Negara di seluruh negara.

Katanya, program tersebut boleh disertai semua belia secara sukarela, yang akan mendedahkan mereka dengan 12 perkara termasuk berkenaan pilihan raya, kerajaan, media dan Parlimen, sekali gus meningkatkan kefahaman dalam aspek kenegaraan dan perpaduan berteraskan penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.

Dalam perkembangan lain, Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, pihaknya akan cuba membantu sebaik mungkin dalam pelbagai aspek termasuk promosi memperkenalkan institusi berkaitan program latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada belia lepasan Tingkatan Tiga.

Beliau berkata, ibu bapa khususnya amat digalakkan menjadikan pendidikan TVET sebagai pilihan kerana ia mampu membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak mereka bagi mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Saban tahun, kita boleh lihat modul, silibus dan program yang tawarkan oleh institusi pendidikan TVET ini sentiasa ditingkatkan kerana ia berkait rapat dengan alam pekerjaan.

"Malah program sekarang juga tidak terhad kepada kulinari atau mesin tetapi turut berkait dengan teknologi, yang mengikut keperluan bukan sahaja industri tetapi perkembangan teknologi semasa," katanya. - Bernama