Ringgit dibuka rendah ketika pelabur menunggu petunjuk FED

Ringgit susut kepada 4.6555/6590 berbanding dolar AS pada pagi Rabu. - Foto hiasan/Bernama
Ringgit susut kepada 4.6555/6590 berbanding dolar AS pada pagi Rabu. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

RINGGIT memulakan urus niaga Rabu dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika peserta pasaran menunggu lebih banyak petunjuk memaparkan pendirian pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah menjelang acara Simposium Jackson Hole, kata penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit susut kepada 4.6555/6590 berbanding dolar AS daripada 4.6465/6495 pada akhir dagangan semalam.

Simposium Jackson Hole yang akan berlangsung pada 24-26 Ogos, adalah acara tahunan yang menghimpunkan wakil-wakil bank pusat global dan sememangnya akan diikuti rapat, terutama ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell mengenai hala tuju dasar monetari negara maju tersebut.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Fed bagaimanapun dilihat cenderung untuk mengekalkan pendirian yang lebih berpihak kepada menaikkan kadar faedah.

"Presiden Fed bagi Richmond, Thomas Barking telah membayangkan bahawa Fed mungkin kehilangan kredibilitinya jika ia mengubah sasaran inflasi pada 2.0 peratus. Kenyataan sedemikian dibuat di tengah-tengah gesaan seorang ahli ekonomi terkenal supaya pihak Fed mempertimbang untuk menaikkannya kepada lebih 2.0 peratus.

"Oleh itu, ada kemungkinan Fed mengekalkan pendiriannya yang sebaliknya membantu dolar AS dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata, maklumat data pula terus menunjukkan keadaan ekonomi yang perlahan dengan Jualan Kediaman Sedia Ada AS susut kepada 4.07 juta unit pada Julai berbanding 4.16 juta unit pada Jun.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun yang menyaksikannya susut kepada 3.1959/1988 daripada 3.1919/1942 pada akhir urus niaga semalam.

Artikel Berkaitan:

Ringgit juga meningkat berbanding euro kepada 5.0498/0536 daripada 5.0689/0721 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.9283/9328 daripada 5.9406/9444, sebelum ini.

Selain itu, unit tempatan itu diniagakan rendah berbanding mata wang Asean lain, kecuali mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4302/4331 daripada 3.4312/4336.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.3033/3190 daripada 13.2928/3079, turun sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 303.9/304.3 daripada 303.3/303.6 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.28 daripada 8.24/8.25 pada Selasa. - Bernama