RTG: Pertambahan atlet mungkin ditentukan bulan depan

Hannah (depan) bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program ISN Inspire di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Hannah (depan) bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program ISN Inspire di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEBARANG penambahan atlet ke dalam program Road To Gold (RTG) berkemungkinan akan dibincang dalam mesyuarat jawatankuasa penilaian program itu bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, topik perbincangan dalam mesyuarat berkenaan termasuk kemungkinan menyenaraikan atlet yang sudah menempah slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

"Mesyuarat akan melihat apa lagi perkembangan termasuk ranking baharu atlet serta mendengar maklum balas daripada tiga bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa RTG iaitu Datuk Lee Chong Wei, Datuk Mirnawan Nawawi dan Datuk Nicol David.

"Selepas mesyuarat (pihak jawatankuasa) RTG, akan ada sidang media," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'ISN (Institut Sukan Negara) Inspire 2023' di Kuala Lumpur pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam, Adli Abd Halim serta Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.

Setakat ini, penerjun muda Bertrand Rhodict Lises muncul atlet pertama negara yang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024 selepas berjaya melangkah ke pentas final 10 meter (m) platform lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, bulan lepas.

Bagaimanapun, Bertrand tidak tersenarai dalam program RTG yang bertujuan memburu pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik 2024.

Antara atlet yang sudah tersenarai dalam program RTG ialah jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara bertahan beregu lelaki dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta ratu terjun Datuk Pandelela Rinong.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hannah mengumumkan anggota lembaga ISN baharu antaranya bekas Olahragawati Kebangsaan Datuk Marina Chin selaku pengerusi dan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan selaku wakil Kementerian Kesihatan Dr Mohd Azman Yacob.

Selain Nicol, Hannah turut melantik Timbalan Presiden 1 Persatuan Badminton Malaysia Datuk V. Subramaniam, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia Wilayah Timur Dr Tan Kah Hock dan Pensyarah Fakulti Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya Dr Mohamed Nashrudin Naharudin sebagai ahli lantikan menteri.

Katanya kesemua lantikan baharu ahli lembaga ISN itu mampu mendukung visi dan misinya dalam memperkukuh agensi tersebut sebagai peneraju ekosistem sukan berprestasi tinggi selain penyelidikan serta inovasi sukan bertaraf dunia.

Mengenai 'ISN Inspire 2023', beliau berkata program bersempena sambutan ulang tahun ISN ke-12 pada 16 September ini merupakan simbolik kepada peranan penting mereka dalam kemajuan sukan negara dan tekad warganya meneruskan legasi kecemerlangan pada masa depan. - Bernama