Tiga kedai sederet terbakar, lelaki melecur di muka, tangan

Tiga buah kedai sederet musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Dulang, Sungai Sumun, Hutan Melintang pada Ahad. - Foto Awani
Tiga buah kedai sederet musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Dulang, Sungai Sumun, Hutan Melintang pada Ahad. - Foto Awani
A
A
A

HUTAN MELINTANG - Tiga buah kedai sederet musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Dulang, Sungai Sumun, di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, susulan kebakaran tersebut, seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga pemilik kedai telefon melecur di bahagian muka serta tangan.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dibantu BBP Teluk Intan dikejarkan ke lokasi.

"Jentera bomba tiba di tempat kejadian dan mendapati kebakaran membabitkan tiga unit kedai kelas A berkeluasan keseluruhan 40X60 kaki persegi musnah sebanyak 85 peratus.

"Ia membabitkan kedai gunting rambut, kedai telefon dan kedai jahit.

"Terdapat seorang mangsa iaitu pemilik kedai telefon melecur 25 peratus di bahagian muka dan tangan. Dia dibawa ke Hospital Anson Bay sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, pasukan bomba memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran dua pancutan 100 kaki sehingga selesai.

Operasi yang diketuai oleh Ketua BBP Hutan Melintang, Mohd Azroisan Wahab itu tamat pada jam 9.59 malam. - Awani

Artikel Berkaitan: